Anda di sini

BSN mampu realisasi hasrat KBS jadikan sukan budaya hidup masyarakat

Advertisement
 Amir (empat kanan), Mahanum (tiga kanan), Simsudin (empat kiri) dan Kim Hock (dua kanan) bersama pemenang pertandingan futsal anjuran Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 2 di Kompleks Sukan Labuan.
JUARA: Amir (empat kanan), Mahanum (tiga kanan), Simsudin (empat kiri) dan Kim Hock (dua kanan) bersama pemenang pertandingan futsal anjuran Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 2 di Kompleks Sukan Labuan.

LABUAN: Bulan Sukan Negara (BSN) mampu merealisasikan hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menjadikan negara ini sebagai negara yang mempunyai rakyat yang sentiasa bersukan.

Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato’ Sri Amir Hussien berkata, aktiviti sukan menerusi BSN mampu menjadi budaya hidup setiap ahli masyarakat untuk menjaga kecergasan dan kesihatan selain berpotensi untuk dijadikan sebagai satu kerjaya.

“Diharap agar hasrat KBS ini dapat dilaksanakan dalam kalangan masyarakat dan dilakukan secara berterusan dengan konsep yang lebih kontemporari bagi menjamin agenda sukan untuk semua kekal relevan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Program Sukan Bulan Kebangsaan anjuran Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 2 di Kompleks Sukan Labuan.

Amir turut mengucapkan tahniah kepada MPP Sub Zon 2 kerana berjaya menganjurkan pertandingan futsal, petanque, sukaneka kampung dan beberapa pengisian sampingan seperti pertandingan karaoke, mama kebaya, zumba dan mewarna.

“Program ini dapat merapatkan hubungan sesama kita dan amat penting untuk kita jalinkan ikatan silaturahim agar sentiasa bersatu hati menerusi aktiviti sukan lebih–lebih lagi di antara penduduk kampung yang berlainan,”katanya lagi.

Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Mahanum Fauzi, Pengerusi MPP Labuan, Simsudin Sidek dan Pengerusi MPP Sub Zon 2, Firdaus@Kim Hock Chun Tuah serta Presiden LAFA, Sophian Said.

Advertisement