Anda di sini

Belanjawan 2020 prihatin keperluan pembangunan Sarawak - Jaziri

Advertisement
 

KUCHING: Belanjawan 2020 kerajaan Persekutuan prihatin terhadap keperluan pembangunan di Sarawak, kata pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak Jaziri Alkaf Abdillah Suffian.

Beliau berkata pada tahun ini, buat pertama kalinya, kerajaan Pakatan Harapan menggandakan kadar itu kepada RM32 juta buat Sarawak dan di samping menggandakan lagi kadar pemberian khas sehingga RM64 juta untuk Sarawak dalam tempoh lima tahun.

“Pemberian khas untuk Sarawak dalam Belanjawan sebelum juga ini tidak pernah disemak sejak tahun 1969 secara langsung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pembangunan jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa berjumlah RM224 juta untuk Sarawak akan membantu menaik taraf sosio-ekonomi penduduk luar bandar.

“RM4.4 billion perbelanjaan pembangunan, mencatat jumlah tertinggi dalam sejarah Sarawak. Pada tahun lepas ia berjumlah RM4.346 billion dan tahun sebelumnya 4.336 billion.

Belanjawan 2020 juga menyaksikan sejumlah RM250 juta diperuntukkan bagi menyediakan akses jalur lebar melalui teknologi satelit yang melibatkan Sabah dan Sarawak melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM) dalam memperkasakan perhubungan di kawasan luar bandar di Sarawak.

Dalam pada itu, bagi Projek Bekalan Air Luar Bandar, sejumlah RM470 juta diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak bagi memenuhi sasaran 99 peratus akses kepada air bersih melibatkan lebih 7,500 penduduk penduduk Sarawak yang akan mendapat manfaat.

Mengulas lanjut, Jaziri berkata Belanjawan 2020 jelas menampilkan keprihatinan  kerajaan, dengan penduduk Sarawak terutamanya di luar bandar adalah prioriti utama dalam usaha kerajaan membawa Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Melalui Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar di Sabah dan Sarawak, dengan peruntukkan sebanyak RM500 juta, ia akan memberi manfaat kepada lebih 30,000 isi rumah luar bandar. - BERNAMA

Advertisement