Anda di sini

Belanjawan 2020 gagal penuhi janji PH kepada rakyat Sarawak - Fadillah

Advertisement
 

KUCHING: Belanjawan 2020 gagal memenuhi janji manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk rakyat Sarawak. 

Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata belanjawan yang dibentangkan semalam sedap didengar dan indah pada bunyinya. 

Dari segi peruntukan pembangunan misalnya, Sarawak menerima hanya RM4.4 bilion berbanding RM5.2 bilion yang diterima oleh Sabah. 

Jumlah RM9.6 bilion untuk Sarawak dan Sabah ini katanya hanya 17.1 peratus daripada keseluruhan dana pembangunan dalam Belanjawan 2020. 

“Manifesto PH telah menjanjikan 30 peratus dana pembangunan akan diagihkan kepada Sarawak dan Sabah, tetapi kenapa hanya 17.1 peratus yang diperuntukkan?

“Pada masa yang sama, mengapa Sarawak terus menerima peruntukan jauh lebih kecil berbanding Sabah, sedangkan Sarawak negeri terbesar dengan keluasan hampir menyamai Semenanjung Malaysia,” kata Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya. 

Tambah Fadillah, jika beginilah caranya kerajaan PH mengagihkan peruntukan untuk Sarawak dan Sabah, hasrat untuk merapatkan jurang pembangunan antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung nampaknya tidak akan dapat dicapai dalam masa terdekat terutama dari segi infrastruktur. 

Ini kerana Kerajaan PH sendiri tidak mampu untuk menunaikan apa yang telah dijanjikan dalam manifesto kepada rakyat Sarawak sendiri. 

Begitu juga peruntukan bagi sekolah daif, rakyat negeri ini katanya mahu mendengar perincian pelaksanaannya untuk Sarawak. 

Ini kerana Sarawak katanya sudah membayar RM350 juta sebagai bayaran awal untuk sejumlah RM1 bilion sebagai kontra, malangnya tidak diperincikan dalam Belanjawan 2020. 

“Kita mahu projek menaiktaraf dan membina semula sekolah daif di negeri ini dipercepatkan untuk menjamin kebajikan anak-anak dan para guru,” katanya. 

Jelas Fadillah lagi, Belanjawan 2020 juga tidak menyentuh janji manifesto PH Sarawak untuk memulangkan kembali 50 peratus cukai yang dikutip di Sarawak. 

Malah katanya secara umum beliau melihat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak dihormati apabila Menteri Kewangan menyentuh mengenai semakan semula geran untuk Sarawak dan Sabah dibawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. 

“Kita menyambut baik hasrat kerajaan persekutuan untuk menaikkan geran kepada Sarawak dan Sabah. Namun apakah perkara ini sudah dibincangkan, diperincikan dan diluluskan di peringkat Jawatankuasa Teknikal yang ditubuhkan,” soal Fadillah. 

Fadillah percaya perkara seperti itu perlu dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Teknikal kerana kadar pemberian khas yang diterima Sarawak hanya RM64 juta jauh berbeza berbanding RM106.8 juta yang diterima Sabah. 

Sebab itu beliau menganggap semangat MA63 tidak dihormati dan jelas menunjukkan Sarawak masih dilihat sebelah mata oleh kerajaan PH. 

  • oleh
  • Advertisement