Anda di sini

B11 bantu ATPP rangkul gelaran juara berganda Piala Bola Sepak Borneo

Advertisement
 Pasukan ATPP Shah Alam muncul juara B11 yang juga gelaran juara kedua selepas mereka turut menjuarai kategori B12 sebelum ini.
JUARA: Pasukan ATPP Shah Alam muncul juara B11 yang juga gelaran juara kedua selepas mereka turut menjuarai kategori B12 sebelum ini.

KOTA KINABALU: Pasukan Akademi Tunas Petaling Perdana (ATPP) Shah Alam merangkul gelaran juara berganda selepas turut menjuarai kategori bawah 11 tahun (B11) Piala Bola Sepak Borneo Malaysia 2019 semalam.

Ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama, ATPP bangkit dengan tiga gol pada babak kedua untuk menumpaskan Caloundra FC Australia pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Likas.

Ia adalah gelaran juara kedua ATPP Shah Alam selepas menjuarai kategori B12 malam semalam.

ATPP Shah Alam adalah satu satu akademi di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Penentuan tempat ketiga dan keempat menyaksikan Malaya Filipina menang 2-1 ke atas FC Kuala Lumpur manakala Astam SS menang 2-0 ke atas UM FC pada penentuan tempat kelima dan keenam.

Penentuan tempat ketujuh dan kelapan pula menyaksikan Dreaming Football United Filipina  mengalahkan TABS Bandaraya KK 5-1.

Kategori B11 itu juga adalah penutup pertandingan peringkat umur anjuran Borneo Sports and Holidays Adventures berkenaan.

Kejohanan tahunan kendalian bekas penyerang import Sabah yang juga pengarah urusan Borneo Sports and Holiday Adventures, Scott Ollerenshaw itu turut mempertandingkan kategori B13, B14, B15 dan B16 tahun.

Kejohanan itu disertai pasukan dari dalam luar negara termasuk dari Indonesia, Filipina, Australia dan Thailand.

Kategori B13 dijuarai pasukan Bimo Indonesia manakala IJL All Stars juga dari Indonesia muncul juara B14.

MFC Filipina pula juara B15 sementara DTC Pasir Gudang juara B16.

  • oleh
  • Advertisement