Anda di sini

Wanita pertama miliki Lesen A 

Advertisement
 Phoong bercakap sesuatu kepada Petronella di Stadium Likas baru-baru ini.
DAPAT PERHATIAN: Phoong bercakap sesuatu kepada Petronella di Stadium Likas baru-baru ini.

Hasrat Petronella dapat perhatian Phoong

KOTA KINABALU:  Petronella Douny teruja untuk menjadi wanita pertama negara ini memiliki Lesen A Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)-Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Bekas pemain Sabah dari Kiulu itu telah menerima tawaran dari FAM untuk mengikuti Kursus Kejurulatihan Lesen A FAM-AFC di Kuala Lumpur penghujung tahun ini tetapi dirisaukan dengan kos tinggi yang diperlukan.

Bagaimanapun keresahannya itu reda apabila hasratnya mengikuti kursus itu mendapat perhatian Menteri Belia Dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe.

"Saya sangat berterima kasih kepada Kementerian Belia Dan Sukan Sabah (KBSS) terutama menterinya Phoong Jin Zhe kerana menyokong hasrat saya ini. Saya akan cuba yang terbaik untuk miliki Lesen A FAM-AFC berkenaan walaupun ia bukan mudah.

"Kos untuk mengikuti kursus itu agak berat buat saya, sebab itu saya amat menghargai keinginan KBSS membantu," kata Petronella ketika dihubungi semalam.

Phoong sebelum ini telah menyatakan kesediaan membantu Petronella mengotakan impiannya itu.

"Kerajaan dan kementerian saya sentiasa memberi sokongan..kami akan lihat perkara ini dan cuba bantu apa yang dapat kami bantu.

"Lagi pun, KBSS ada geran untuk jurulatih negeri yang ingin mengikuti kursus, oleh itu saya akan bantu terutama dia (Petronella) akan menjadi wanita pertama  Malaysia yang akan mengikuti kursus ini iaitu sesuatu yang membanggakan kita.

"Tambahan pula, dia telah melatih ramai pemain. Oleh itu sewajarnyalah dia dibantu," kata Phoong.

Sebagai rekod, Petronella bermain untuk Sabah pada 2004-2011.

Selepas itu, dia menceburi kejurulatihan dan memiliki Lesen C pada 2013 sebelum menaiktarafkannya kepada Lesen B pada 2016.

Petronella pernah menjadi penolong jurulatih futsal Sabah pada 2014-2015 dan jurulatih bola sepak wanita Sabah pada 2014-2016 dalam kejohanan kebangsaan, Piala Tun Sharifah Rodziah.

Pada tahun 2017, Petronella mengikuti 1st Women Tutors di Shanghai, China dan telah dilantik sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan bawah 15 dan bawah 19 tahun pada 2018.

  • oleh
  • Advertisement