Anda di sini

Tidak hormat lagu kebangsaan, tujuh individu mengaku tidak bersalah

Advertisement
Tujuh tertuduh, Andrew Chong, Kon Tai Keong, Leong Shaow Tung, 43, Bong Sak Sin, Tan Kok Chiang, Pui Ping Ping dan Phang Ngin Pen (barisan hadapan) bersama ahli Sarawak For Sarawakian (S4S) semasa berada di hadapan komples Mahkamah Kuching.
Andrew Chong, Kon Tai Keong, Leong Shaow Tung, Bong Sak Sin, Tan Kok Chiang, Pui Ping Ping dan Phang Ngin Pen bersama ahli S4S di Kompleks Mahkamah Kuching.

KUCHING: Seorang wanita dan enam lelaki yang terlibat dalam kes tidak menghormati lagu Negaraku pada 29 September lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini. 

Semua tertuduh mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibaca oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Nurfazlin Mahmad Zulhasnan. 

Majistret Zubaidah Sharkawi kemudian menetapkan 11 November depan sebagai tarikh pengurusan kes.

"Kesemua tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin tempatan setiap seorang," ujar Majistret Zubaidah. 

Individu berkenaan terdiri daripada Andrew Chong, 33, Kon Tai Keong, 37, Leong Shaow Tung, 43, Bong Sak Sin, 44, Tan Kok Chiang dan Pui Ping Ping, masing-masing berusia 46 tahun serta Phang Ngin Pen, 64. 

Mereka didakwa tidak berdiri sebagai tanda hormat ketika Lagu Kebangsaan dimainkan pada satu majlis makan malam aktivis pada 27 September, pukul 7.15 malam, di hotel di Jalan Ban Hock.

Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 8 (3) Akta Lagu Kebangsaan 1968.

Mengikut akta itu, jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM100 atau penjara tidak lebih sebulan, kerana menunjukkan sikap tidak hormat terhadap Lagu Kebangsaan.

Terdahulu pada 30 September, mereka dipanggil memberi keterangan di Pusat Sehenti Balai Polis Daerah Kuching, Simpang Tiga. 

Jurucakap kumpulan itu, Alex Leong berkata, tindakan mereka tidak berdiri ketika Lagu Kebangsaan dimainkan adalah sebagai tanda 'protes senyap' terhadap sikap kerajaan persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada Jumaat, 29 September lalu, tular video sekumpulan individu dipercayai ahli atau penyokong Sarawak for Sarawakians (S4S), sekadar duduk ketika Lagu Kebangsaan berkumandang pada satu majlis di sini.

Difahamkan, tindakan itu sebagai menunjukkan bantahan berkaitan kemelut isu pemberian royalti minyak 20 peratus kepada negeri. 

Turut hadir untuk memberikan sokongan adalah Presiden Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) Lina Soo.

Kesemua tertuduh diwakili peguam, Arthur Lee dan Ian Lee. 

  • oleh
  • Advertisement