Anda di sini

Sukan landasan kekal kecergasan, membina karakter pelajar cemerlang

Advertisement
 Para tetamu jemputan beraksi dengan murid SK Muara Tebas yang menyertai jogathon baru-baru ini.
MERIAH: Para tetamu jemputan beraksi dengan murid SK Muara Tebas yang menyertai jogathon baru-baru ini.

KUCHING: Penganjuran aktiviti sukan dalam kalangan pelajar menjadi landasan bukan sahaja untuk kekal cergas tetapi juga membina karakter cemerlang.

Yang Dipertua Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Sarawak Omar Immun berkata, program kesukanan juga mampu mengelakkan pelajar daripada terjebak dengan gejala sosial.

“Kita menasihatkan murid-murid supaya mengambil peluang daripada program yang diatur oleh pihak sekolah.

“Ia mampu mengelakkan mereka terjebak dengan gejala sosial yang meningkat dan semakin mencabar,” katanya berucap pada Majlis Penangguhan Program Larian Jogathon PIBG SK Muara Tebas di sini, baru-baru ini.

Program berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni.

Omar berkata, kerjasama antara ibu bapa dan guru penting untuk menjayakan agenda pendidikan dan berharap kerjasama baik itu akan berterusan demi kebaikan semua.

“Kita mengucapkan tahniah kepada pihak PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) dan SK Muara Tebas yang menganjurkan program ini dengan jayanya.

“Tahniah juga kepada murid-murid yang berjaya dalam larian kali ini, termasuk ibu bapa yang mengambil dalam acara terbuka,” katanya.

Sementara itu larian berkenaan mempertandingkan empat kategori iaitu Kategori A, B dan C (untuk murid), manakala Kategori D untuk terbuka lelaki serta wanita, bawah dan atas 40 tahun.

Pelbagai aktiviti menarik lain turut diadakan termasuk majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang, hadiah kepada kutipan tertinggi kad jogathon serta cabutan bertuah.

Hadir sama Guru Besar SK Muara Tebas Ismain Husin dan Yang Dipertua PIBG SK Muara Tebas Hamzah Buang.

Advertisement