Anda di sini

Scaloni kagum sikap ‘positif’ Argentina di Dortmund

Advertisement
  Alario (kanan) menanduk masuk gol pertama buat Argentina pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Jerman di Dortmund, Jerman kelmarin. — Gambar AFP
TEPAT KE SASARAN: Alario (kanan) menanduk masuk gol pertama buat Argentina pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Jerman di Dortmund, Jerman kelmarin. — Gambar AFP

DORTMUND, Jerman: Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, memuji pasukannya yang beraksi tanpa bintang utama, Lionel Messi selepas menjaringkan dua gol dalam separuh masa kedua untuk mengikat Jerman 2-2 pada satu perlawanan persahabatan antarabangsa Rabu lepas.

Jerman, yang menurunkan skuad eksperimen, mendahului 2-0 pada masa rehat menerusi gol Serge Gnabry dan Kai Havertz di Dortmund sebelum Lucas Alario merapatkan kedudukan apabila dimasukkan pada awal separuh masa kedua.

Alario kemudian mengumpan bola kepada Lucas Ocampoas untuk mengikat kedudukan pada lewat permainan.

“Kami menjadi matang semasa dalam perlawanan,” kata Scaloni. “Kami melakukan dua atau tiga kesilapan dalam separuh masa pertama tetapi menemui rentak dalam separuh masa kedua, kami bermain lebih sabar dan mengambil banyak perkara positif untuk masa hadapan.

“Saya kagum dengan sikap pemain, mereka tidak mengalah apabila ketinggalan 0-2.”

Jurulatih Jerman, Joachim Loew, mengakui pasukannya hilang rentak selepas bermula dengan memberangsangkan.

“Kami mahu mengawal permainan dari awal tetapi malangnya gagal bertahan,” kata Loew.

“Kami hilang terlalu banyak bola, hilang keberanian dan masalah itu muncul.”

Loew memberikan penampilan sulung kepada empat pemain, Robin Koch dan Luca Waldschmidt yang bermula dalam kesebelasan utama sementara Nadim Amiri dan Suat Serdar membuat penampilan sulung dalam separuh masa kedua.

Loew terpaksa merombak barisan pertahanan selepas Koch menggantikan Niklas Stark di posisi pertahanan tengah sebelum perlawanan kerana masalah perut.

Walaupun 13 pemain tidak diturunkan sama ada tidak sihat atau cedera, Jerman menyerlah pada awal permainan  menentang lawan yang kehilangan Messi, Sergio Aguero dan Angel di Maria.

Dengan Messi digantung perlawanan, Paulo Dybala bergandingan dengan Lautaro Martinez di jentera serangan Argentina.

Perlawanan ini mirip final Piala Dunia 2014 namun hanya seorang pemain dari final itu beraksi Rabu lepas, Marcos Rojo.

Rojo bergandingan dengan Nicolas Otamendi di pertahanan tengah Argentina, dan jelas sekali gandingan itu tidak berjaya apabila Gnabry membuka jaringan pada minit ke-15.

Rojo kemudian hilang bola kepada Waldschmidt sebelum melorong kepada Gnabry untuk mengumpan bola kepada Havertz untuk gol kedua pada minit ke-22.

Jerman hampir menjaringkan gol ketiga tetapi Brandt gagal menyempurna umpanan Niklas Suele ketika Jerman kelihatan menamatkan saingan lebih awal.

Namun Argentina mempamerkan aksi yang lebih baik dalam separuh masa kedua, terutama sekali apabila Scaloni memasukkan Alario untuk menggantikan Dybala pada minit ke-62.

Alario menunjukkan kekuatan di udara untuk menanduk gol pertama Argentina empat minit kemudian sebelum mengumpan bola kepada Lucas Ocampos, yang menggantikan Correa, mengikat kedudukan lima minit sebelum tamat permainan. — AFP

Advertisement