Anda di sini

RM297 bilion peruntukan Belanjawan 2020

Advertisement
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika mendengar Menteri Kewangan Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - Gambar Bernama.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika mendengar Menteri Kewangan Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - Gambar Bernama.
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2020 akan memperuntukkan sejumlah RM297 bilion, tidak termasuk simpanan luar jangka RM2 bilion.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata ia merupakan peningkatan RM19.5 bilion berbanding RM277.5 bilion pada tahun 2019, tanpa mengambil kira peruntukan secara one-off bagi bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan tertunggak.

Beliau berkata Belanjawan 2020 itu merangkumi RM241 bilion yang diperuntukkan untuk Perbelanjaan Mengurus manakala bakinya RM56 bilion untuk Perbelanjaan Pembangunan.

Katanya, hasil kerajaan dijangka mencecah RM244.5 bilion pada tahun 2020 iaitu peningkatan sebanyak RM11.2 bilion berbanding tahun 2019, tanpa mengambil kira dividen khas Petronas sebanyak RM30 bilion.

"Walaupun hasil meningkat dengan menggalakkan, Malaysia masih mengutip cukai yang jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, bagi tahun 2017, Malaysia hanya mencatatkan hasil kutipan cukai 13.1 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

Namun, negara-negara seperti Vietnam, Chile, Poland dan Republik Korea Selatan masing-masing mencatat kutipan cukai sebanyak 19 peratus, 17.4 peratus, 16.8 peratus dan 15.4 peratus, katanya. - BERNAMA

Advertisement