Anda di sini

Pelantikan Pioli telah mencetuskan kemarahan penyokong AC Milan

Advertisement
PIOLI
PIOLI

MILAN, Itali: AC Milan melantik Stefano Pioli sebagai jurulatih baharu ekoran pemecatan Marco Giampaolo hanya selepas tujuh perlawanan membimbing kelab.

Pioli, bekas jurulatih Inter Milan berusia 53 tahun, menandatangani kontrak dua tahun yang dilaporkan bernilai sekitar dua juta euro semusim.

Giampaolo dipecat selepas hanya 111 hari menjalankan tugas ketika Milan, juara Eropah tujuh kali, tercicir ke tangga ke-13 Serie A Itali selepas empat kekalahan dari tujuh perlawanan.

Pelantikan Pioli, seorang jurulatih berpengalaman tetapi tidak pernah memenangi sebarang trofi sepanjang 16 tahun menjadi jurulatih, adalah sesuatu yang mengejutkan buat Milan, yang muncul juara liga buat kali terakhir pada 2011.

“Ia satu pilihan yang telah dipertimbangkan,” kata pengarah teknikal Milan, Paolo Maldini ketika memberitahu satu sidang media.

“Berada pada pusingan ketujuh perlawanan, ia boleh menjadi satu pertaruhan tetapi kami mahu lebih menyerlah musim ini.

“Kerana itu kenapa kami membuat keputusan bertukar kepada jurulatih lebih berpengalaman. Bagi sebuah pasukan yang muda, kami mahukan seorang jurulatih dengan idea yang kukuh.”

Pioli pernah membimbing kelab jiran, Inter Milan pada musim 2016/2017 tetapi tanpa sebarang pasukan selepas meletak jawatan dari Fiorentina pada bulan April.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam Serie A selepas membimbing kelab seperti Bologna, Lazio, Inter dan Fiorentina tetapi tidak pernah memenangi sebarang trofi sebagai jurulatih.

Namun hashtag #PioliOut mula tersebar di seluruh dunia menerusi laman sosial Twitter ekoran kemarahan penyokong Milan yang tidak gembira dengan reputasi beliau yang tidak pernah memenangi sebarang trofi.

“Saya membuat persediaan untuk pengembaraan ini dengan semangat yang tinggi,” kata Pioli.

“Ini adalah salah sebuah kelab paling berprestij di dunia. Saya mengambil alih sebuah pasukan bagus dengan potensi yang serius dan kerana itu saya fikir saya boleh melaksanakan tugas dengan baik.

“Penyokong mempunyai hak untuk mengkritik tetapi bagi saya, ini adalah cara yang terbaik untuk memastikan saya melakukan yang lebih bagus lagi.”

Perlawanan pertama Pioli ialah menentang Lecce pada 20 Oktober di San Siro.

“Giampaolo adalah seorang jurulatih hebat tetapi beliau mempunyai idea yang berbeza dengan saya,” tambah beliau. “Saya harus menyampaikan idea saya kepada pemain secepat mungkin. Cita-cita kami ialah bersaing untuk kelayakan ke Liga Juara-Juara.”

Pioli menjadi jurulatih kelapan Milan dalam tempoh lima tahun, tidak termasuk jurulatih sementara, Mauro Tassotti, yang membimbing kelab pada satu perlawanan selepas Massimiliano Allegri dipecat pada Januari 2014.

Allegri adalah jurulatih terakhir membimbing Milan memenangi kejuaraan liga dan beliau kemudian membimbing Juventus memenangi lima kejuaraan liga.

Kelab mencuba segala-galanya sejak dari Sinisa Mihajlovic, Gennaro Gattuso, Clarence Seedorf dan Filippo Inzaghi dan yang terbaharu, Giampaolo.

Namun kesemua mereka gagal membawa Milan ke era kegemilangan seperti sebelum ini, dengan penampilan terakhir mereka dalam Liga Juara-Juara ialah pada musim 2013/2014.

Milan menamatkan musim lepas di tangga kelima di bawah kendalian Gattuso tetapi gagal layak ke Liga Europa musim ini kerana melanggar peraturan bersih kewangan UEFA.

Bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, yang mengetuai era kegemilangan Milan sepanjang 31 tahun sebagai pemilik kelab, menjual kelab kepada ahli perniagaan China, Li Yonghong pad 2017 sebelum Elliot Management mengambil alih kelab pada Julai 2018. — AFP

Advertisement