Anda di sini

Mueller tidak gembira ‘panaskan’ bangku simpanan di Munich

Advertisement
MUELLER
MUELLER

MUNICH, Jerman: Thomas Mueller mengesahkan Rabu lepas di mana beliau tidak gembira untuk berada di bangku simpanan di Bayern Munich ekoran laporan beliau mahu meninggalkan kelab pada pasaran perpindahan pemain Januari depan.

Mueller, yang mencecah usia 30 tahun bulan lepas, belum bermula dalam kesebelasan utama Bayern pada lima perlawanan terakhir, “satu trend yang tidak menyebabkan saya gembira,” kata beliau kepada majalah Jerman, Kicker.

“Saya baharu mencecah usia 30 tahun, saya berada dalam kecergasan yang tinggi dan masih laparkan kejayaan, untuk kelab dan secara peribadi.

“Saya masih yakin dengan kualiti saya, saya boleh terus membantu pasukan.

“Jika pasukan kejurulatihan hanya melihat saya sebagai pemain gantian di masa hadapan, saya harus berfikir semula. Saya mempunyai cita-cita terlalu tinggi untuk menjadi pemain simpanan.”

Jurulatih Bayern, Niko Kovac, lebih memilih untuk menurunkan Philippe Coutinho sebagai pemain tengah yang membantu serangan, di belakang Robert Lewandowski, menyebabkan Mueller tidak mempunyai banyak peluang setakat musim ini.

Mueller hanya bermain pada 30 minit terakhir ketika Bayern tewas 1-2 kepada Hoffenheim di tempat sendiri Sabtu lepas, menyebabkan mereka tercicir dari tangga teratas Bundesliga Jerman.

Menurut akhbar paling laris Jerman, Bild, Mueller menimbangkan untuk meninggalkan kelab yang disertainya ketika masih bersekolah pada 2000.

Sepanjang dekad yang lalu, beliau sudah menjaringkan 186 gol, mengumpan 171 gol dalam lebih dari 500 perlawanan untuk Bayern tetapi pada enam bulan terakhir, semuanya tidak begitu indah.

Pada bulan Mac, beliau diberitahu, bersama-sama Jerome Boateng dan Mats Hummels di mana karier beliau dalam skuad kebangsaan Jerman sudah berakhir oleh jurulatih kebangsaan Jerman, Joachim Loew.

Musim ini, beliau bermain pada purata 45 minit dalam setiap 10 perlawanan Bayern dalam semua pertandingan, menjaringkan satu gol dan empat umpanan gol.

Lahir dan dibesarkan di Bavaria, Mueller memenangi Bundesliga sebanyak lapan kali, menjulang Piala Jerman lima kali dan satu kejuaraan Liga Juara-Juara pada 2013.

Pernah digelar budak bola oleh Diego Maradona pada penampilan sulung bersama Jerman pada 2010, Mueller pernah menjadi buruan Manchester United dengan bidaan bernilai 100 juta euro pada 2015. — AFP

Advertisement