Anda di sini

Hayati prinsip Rukun Negara: Agong

Advertisement
 Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bertitah pada Wacana Diraja Islam Agama Rahmah Raja Berpelembagaan dan Patriotisme di Institut Kefahaman Islam Malaysia semalam.  — Gambar Bernama
UCAPAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bertitah pada Wacana Diraja Islam Agama Rahmah Raja Berpelembagaan dan Patriotisme di Institut Kefahaman Islam Malaysia semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua rakyat agar menghayati prinsip Rukun Negara bagi pemangkin semangat patriotisme dalam masyarakat.

AL-Sultan Abdullah menegaskan bahawa prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara merupakan panduan kepada perilaku rakyat Malaysia yang diasaskan daripada acuan budaya dan ajaran tempatan.

Baginda bertitah ia menekankan nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan serta mengingatkan masyarakat agar sentiasa mensyukuri nikmat kurniaan Allah SWT.

“Ia juga menuntut untuk sentiasa berlaku adil dalam mendaulatkan undang-undang, lebih penting lagi Rukun Negara memartabatkan kedudukan raja, negara dan Perlembagaan.

“Hakikatnya, raja merupakan raja kepada semua kaum tanpa mengira agama, bangsa, status sosial dan pegangan politik,” titah Seri Paduka dalam program Wacana Diraja Islam Agama Rahmah Raja Berperlembagaan dan Patriotisme di Institut Kefahaman Islam Malaysia di sini semalam.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah pada jam 10.50 pagi disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa peranan raja sebagai meka-nisme penyatuan dan pencetus semangat patriotisme adalah sangat unik dan sentiasa relevan dalam demografi kepelbagaian di negara kita.

“Apabila negara berhadapan dengan isu-isi yang berkepen-tingan kepada rakyat, peranan institusi Raja-Raja Melayu adalah amat besar dalam menzahirkan pandangan, menegur, melunakkan keadaan dan menawarkan pedoman.

“Justeru, raja adalah mahkota negara dan menjadi pelindung kepada rakyat jelata,” titah baginda.

Seri Paduka turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mensyukuri fitrah masyarakat majmuk yang diciptakan Tuhan Yang Maha Esa.

Titah baginda, rakyat tidak seharusnya mengadu domba dengan isu yang boleh membawa persengketaan dan permusuhan.

“Sebaliknya, berpeganglah kepada ajaran agama. Hayatilah prinsip-prinsip Rukun Negara yang menjadi ideologi kebangsaan.

“Hormatilah keluhuran Perlembagaan yang menjadi asas kepada pembentukan negara yang kita cintai ini,” titah Seri Paduka. — Bernama

Advertisement