Anda di sini

Belanjawan rancakkan pembangunan, peningkatan peruntukan untuk Sabah dan Sarawak

Advertisement
 

SANDAKAN: Pengumuman Kerajaan Persekutuan mengenai peningkatan peruntukan pembangunan menerusi Belanjawan 2020 untuk Sabah dan Sarawak, diyakini merancakkan lagi pembangunan di kedua-dua negeri berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong Ket Kiuh berkata Kerajaan Pakatan Harapan dilihat memberi tumpuan kepada pembangunan di Sabah dan Sarawak agar ia seimbang dengan pembangunan di Semenanjung.

“Sabah menerima perbelanjaan pembangunan RM5.1 bilion dan Sarawak RM 4.4 bilion. Jika dibandingkan dengan Belanjawan 2019, Sabah hanya diberi RM5 bilion dan Sarawak RM4 bilion,” katanya.

CALVIN CHONG
CALVIN CHONG

Beliau berkata, Sabah juga menerima pemberian Kerajaan Persekutuan sejumlah RM1.14 bilion dan Sarawak RM1.3 bilion.

“Pemberian khas tahunan RM53.4 juta kepada Sabah dan RM32 juta untuk Sarawak. Kadar akan digandakan RM106.8 juta untuk Sabah dan RM54 juta untuk Sarawak dalam tempoh 5 tahun,” katanya.

Calvin juga berkata Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar juga yang membabitkan RM500 juta juga akan memberi manfaat kepada penduduk luar bandar Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan Pakatan Harapan juga menyediakan RM1 bilion bagi membina jalan raya luar bandar. RM326 juta untuk Sabah dan RM224 juta bagi Sarawak,” katanya ketika dihubungi oleh Utusan Borneo.  

Beliau berkata, begitu juga Projek Bekalan Air Luar Bandar disediakan RM587 juta dan untuk Sabah, Sarawak pula RM470 juta.
 

  • oleh
  • Advertisement