Anda di sini

Sarawak sasar juara kejohanan esport di Kuala Lumpur 

Advertisement
Snowdan (dua kiri) bersama pasukan Sarawak yang akan bertanding pada kejohanan sukan elektronik di Kuala Lumpur pada 12 dan 13 Oktober ini. Turut kelihatan Afiq (kanan).
Snowdan (dua kiri) bersama pasukan Sarawak yang akan bertanding pada kejohanan sukan elektronik di Kuala Lumpur pada 12 dan 13 Oktober ini. Turut kelihatan Afiq (kanan).

KUCHING: Sarawak menerusi Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sarawak (SESA) menghantar 12 atlet pada pusingan akhir  kejohanan Grand Final Esports yang akan berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 12 hingga 13 Oktober ini.

Kejohanan sempena Bulan Sukan Negara ini akan menyaksikan pasukan yang mewakili negeri masing-masing bersaing bagi merebut gelaran juara dalam dua permainan utama iaitu FIFA 2019 dan Pro Evolution Soccer 2019 (PES19). 

Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan berkata pemilihan atlet yang mewakili Sarawak diadakan pada 13 dan 14 April lalu dalam satu kejohanan di CityOne Megamall di sini. 

"Daripada kejohanan tersebut, tiga atlet terpilih mewakili Sarawak ke FIFA 2019 iaitu Aidil Afiz Azri, Hazwan Faiq Hailwan dan Ammar Adi Yusoff Zulkifli. 

"Manakala tiga orang atlet lagi dipilih dalam PES19 iaitu Mohd Ehsan Wahab, Alif Zulhaikal Ashamadi dan Azeemaizan Othman. 

"Selain daripada itu enam orang lagi yang memenangi kejohanan sukan elektronik pada sambutan Hari Sarawak di Bintulu pada 22 Julai lepas dipilih untuk bertanding dalam Mobile Legends: Bang Bang (MLBB)," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyerahan bendera Sarawak kepada kontinjen Sarawak diketuai Presiden SESA, Afiq Fadhli Narawi di pejabatnya di Tingkat 7, Bangunan Baitulmakmur di sini hari ini. 

Enam atlet yang akan bertanding dalam MLBB ialah, Cyprian Saka Ajan, Iszuannul Izreen Razain, Muhammad Amirul Husni, Alex Ng Sin Fatt, Alexson Gendin Hu dan Fernando Morriantez Manggau. 

Sementara itu, Afiq berkata SESA mensasarkan kedudukan pertama pada kejohanan ini melihat kepada potensi yang dimiliki para atlet Sarawak yang dihantar pada kejohanan ini. 

"Meskipun tiada atlet kita yang terpilih ke Sukan SEA Ke-30 di Filipina pada 30 November hingga 11 Disember ini tetapi ia bukan kegagalan buat kita. 

"Ini adalah pertama kali atlet kita bersaing dalam sukan elektronik dan kita mempunyai ramai bakat yang tersembunyi dalam sukan ini yang boleh digilap," katanya. 

Pasukan Sarawak akan berangkat esok (Jumaat) bersama lima orang pegawai pengiring yang akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak. 
 

  • oleh
  • Advertisement