Anda di sini

Sambutan Hari Lahir TYT di Miri bermula esok hingga Ahad

Advertisement
 Jaul (tengah) ketika ditemui pada latihan raptai semalam. Turut kelihatan Residen Miri Mastapha Julaihi (kiri) dan Azlan.
BERJALAN LANCAR: Jaul (tengah) ketika ditemui pada latihan raptai semalam. Turut kelihatan Residen Miri Mastapha Julaihi (kiri) dan Azlan.

MIRI: Kira-kira 15,000 orang dijangka menghadiri sambutan Hari Lahir Ke-83 Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Stadium Miri pada Sabtu ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Jaul Samion berkata, sambutan yang bermula jam 8 pagi itu akan disertai sekitar 5,000 peserta yang melibatkan 106 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), unit beruniform, institusi pengajian tinggi dan peserta pesembahan akan mengambil bahagian dalam perbarisan.

Jelasnya ketika ditemui pada latihan raptai semalam, sambutan akan diadakan selama tiga hari bermula esok dimulakan dengan doa kesyukuran di Masjid Darul Ehsan, Piasau jam 6.30 petang diikuti majlis makan malam.

Tun Taib bersama isterinya Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib akan diiringi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta isteri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

Perarakan dan perbarisan pada Sabtu pula akan me-nyaksikan perbarisan melibatkan lintas hormat udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Hornbill Skyways dan helikopter polis yang akan membawa bendera Malaysia dan Sarawak.

Selepas majlis perarakan dan perbarisan berkenaan, Tun Taib akan menghadiri majlis penyampaian anugerah dan pingat negeri kepada penerima di Hotel Mega Miri, diikuti majlis makan malam negeri di hotel Pullman Waterfront Miri.

Konsert Rakyat turut akan diadakan untuk masyarakat setempat yang akan menampilkan penyanyi terkenal negara dan tempatan seperti Faizal Tahir, Ricky Andrewson, Melissa Francis, Bibi-yanti, Siti Hajar serta ramai lagi yang akan berlangsung di Coco Cabana bermula jam 8 malam.

Manakala pada Ahad, Tun Taib akan menghadiri Majlis Jamuan Teh di Kelab Gymkhana Miri selain akan menyampaikan sumbangan kebajikan kepada golongan yang kurang bernasib baik sebelum melancarkan Pame-ran Dirgahayu di Pustaka Miri.

Mengulas mengenai latihan raptai semalam, Jaul berkata beliau berpuas hati dengan keseluruhan persembahan dan berharap setiap kontinjen yang terlibat akan melakukan yang terbaik pada raptai penuh hari ini dan Sabtu kelak.

Sementara itu, Pengarah Unit Protokol dan Penguru-san Acara Negeri Sarawak Azlan Ali Badri berkata, unsur-unsur baharu sentiasa dimasukkan untuk sambutan perayaan berkenaan setiap tahun dan untuk tahun ini terdapat persembahan selang waktu di antara perarakan, majlis makan malam negeri yang akan menyaksikan persembahan khas orkestra dari Istana Budaya dan Konsert Rakyat serta persembahan bunga api muzikal awam.

Advertisement