Anda di sini

PSB terharu dengan sambutan masyarakat Dayak

 Francis (dua kanan) menyampaikan penghargaan kepada Wong sambil diperhatikan Tiong (kanan) dan Dr Chen (kiri).
PELANTIKAN: Francis (dua kanan) menyampaikan penghargaan kepada Wong sambil diperhatikan Tiong (kanan) dan Dr Chen (kiri).

SIBU: Parti Sarawak Bersatu (PSB) kini semakin berkembang dari semasa ke semasa, ujar Presidennya Dato Sri Wong Soon Koh.

Katanya PSB buat masa ini telah berada di hampir seluruh pelosok negeri Sarawak.

“Kita telah mengadakan jerayawara di seluruh Sarawak dan berasa terharu dengan sambutan yang diterima terutama daripada masyarakat Dayak di kawasan luar bandar.

“Saya berasa bangga ramai yang menyertai kita dan ini akan menguatkan lagi PSB. Oleh itu, saya percaya dengan apa yang saya lakukan,” ujarnya ketika berkongsi pengalamannya.

Wong berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelantikan Bersama Kelab Toastmaster The Best, Rejang, Rainbow dan Swan City, Ahad lepas yang bertemakan ‘I Believe’.

ADUN Bawang Assan itu percaya, sebagai sebuah parti dari Sarawak, bekerja untuk Sarawak dan penduduknya, PSB mampu mengubah nasib penduduk Sarawak tanpa mengira bangsa, agama dan kebudayaan.

Pada majlis itu, Wong turut berkongsi pengalaman ketika mengambil tindakan berani dengan meletak semua jawatan dalam kabinet negeri.

Ini kerana katanya, beliau percaya hanya dengan cara itu dapat membebaskan PSB daripada struktur politik yang ada.

“Bebas, hanya dengan cara ini kita boleh membina semula parti yang sebelumnya dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu (UPP).

“Kini PSB bebas untuk pergi ke mana-mana.

“Buat masa ini, kita telah pergi ke Sri Aman, Engkilili, Skrang, Selangau, Limbang, Kanowit, Kapit, Pelagus, Miri, Samalaju, Marudi dan sebagainya,” jelas Wong.

Majlis pelantikan ahli jawatankuasa empat kelab Toastmaster itu dilakukan Pengarah Kawasan A1 Francis Chen sambil disaksikan Wong, ADUN Dudong Datuk Tiong Thai King serta Pengarah Wilayah 87 Wong Toh Hee.

Presiden baharu bagi Kelab Toastmaster Swan City ialah Jane Moh, Kelab Toastmaster The Best Sundra Yii, Kelab Toastmaster Rejang Lau Jin Jie dan Kelab Toastmaster Rainbow Ting Siew Kiong.

Hadir sama ialah pengasas kelab terbabit Dr Clement Chen.