Anda di sini

Program Reading Seeds bentuk generasi bijaksana

Advertisement
 Sebi (tengah), Salina (dua kiri) dan yang lain bersama peserta Bengkel Reading Seeds semalam.
CELIK HURUF: Sebi (tengah), Salina (dua kiri) dan yang lain bersama peserta Bengkel Reading Seeds semalam.

LIMBANG: Program Reading Seeds yang diterajui Pustaka Negeri Sarawak mampu menjadikan golongan ibu bapa dan kanak-kanak seawal usia ke arah celik huruf dan pembangunan literasi sepanjang hayat mereka.

Residen Limbang Ahmad Denney Ahmad Fauzi berkata, Reading Seeds merupakan program literasi untuk kanak-kanak bersama ibu bapa mereka iaitu usaha ke arah celik huruf dan cakna pendidikan.

“Melalui program ini ibu bapa memainkan peranan dan sokongan penting dalam usaha membangunkan budaya membaca dalam keluarga sekali gus meningkatkan tahap literasi dalam semua lapisan masyarakat,” katanya pada Bengkel Reading Seeds Daerah Limbang di Dewan Bunga Raya di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Residen Limbang Sebi Abang.

Turut hadir Pengurus Wilayah Pustaka Negeri Sarawak Miri Salina Zawawi.

Ahmad Denney berkata lagi, proses pembelajaran dan pemahaman boleh menjadi sukar, lambat atau terbantut jika mengharapkan tunjuk ajar orang lain tanpa usaha sendiri melalui aktiviti pembacaan di peringkat awal.

“Masyarakat luar negara membuktikan kejayaan mereka dalam mendedahkan budaya membaca dari peringkat awal kanak-kanak.

“Kita amat bertuah kerana mempunyai banyak bahan bacaan dan aktiviti menarik disediakan Pustaka Negeri,” katanya.

Beliau berharap para peserta dapat memaksimumkan penggunaan perkhidmatan dan kemudahan di Pustaka Negeri untuk melahirkan generasi celik huruf.

Advertisement