Anda di sini

Pioli dilantik kembalikan era kegemilangan AC Milan

Advertisement
PIOLI
PIOLI

MILAN: AC Milan kelmarin memecat jurulatih Marco Giampaolo selepas menggalas tugas hanya tujuh perlawanan sahaja setelah bekas gergasi eropah itu jatuh ke tempat ke-13 dalam Serie A, dan bekas jurulatih Inter Milan Stefano Pioli dijangka akan menggantikan tempatnya.

Giampaolo menggantikan bekas wira Milan, Gennaro Gattuso, yang meletak jawatan selepas kelab itu gagal layak ke Liga Juara-Juara pada musim lepas apabila mereka menamatkan kempen di tempat kelima.

Namun selepas empat kekalahan termasuk kekalahan 2-0 dalam perlawanan tetangga kepada Inter, juara Eropah sebanyak tujuh kali itu berada hanya tiga mata sahaja di atas zon relegasi.

“Kelab berterimakasih kepada Marco di atas kerja yang telah dijalankan dan mendoakannya segala yang terbaik pada masa akan datang dalam karier profesionalnya,” pasukan itu menyebut dalam satu kenyataan.

Pengurus berusia 52 tahun itu menghadapi masalah dari mula lagi di Milan yang menanggung beban kewangan dan menyerahkan tempat mereka dalam Liga Europa pada musim ini setelah mereka melanggar peraturan ‘financial fair play’ (keadilan kewangan) UEFA.

Kemenangan 2-1 pada Sabtu lepas di Genoa tidak cukup untuk menyelamatkan bekas pengurus Sampdoria itu, yang merupakan jurulatih ketujuh untuk duduk di atas bangku Milan sejak lima tahun lalu.

Pioli dilaporkan bakal mengambil alih tugas di kelab yang uzur itu dan yang memenangi kejuaraan liga terakhir daripada 18 kejuaraan liga Itali bagi mereka pada 2011.

Akhbar Gazzetta Dello Sport berkata Pioli bersedia untuk menandatangani kontrak selama dua tahun pada pagi semalam bernilai 1.5 juta euro (RM7.2 juta).

“Esok kita akan cakap,” kata Pioli kepada wartawan ketika dia tiba di Milan untuk mengadakan rundingan kelmarin.

Pioli menghabiskan seluruh karier kejurulatihannya selama 16 tahun di Itali bersama kelab termasuk Bologna, Lazio, Inter dan Fiorentina, tetapi tidak pernah memenangi sebarang trofi sebagai seorang jurulatih.

Hashtag #PioliOut trending dengan cepat di seluruh dunia dalam Twitter ekoran reaksi marah daripada penyokong Milan.

Pengurus berusia 53 tahun itu membimbing Lazio ke Liga Juara-Juara pada 2015 dan menjadi jurulatih Fiorentina ketika kapten Davide Astori meninggal dunia ketika dia tidur sebelum satu perlawanan pada tahun lepas.

Milan berharap dia dapat membawa kestabilan kepada kelab itu yang turut mengalami drama bilik belakang selepas dijual dua kali sejak dua tahun lalu.

Hartawan media Itali dan mantan perdana menteri Silvio Berlusconi menjual kelab itu kepada ahli perniagaan dari China Li Yonghong pada 2017 dan syarikat dana lindungan dari Amerika Syarikat Elliot Management mengambil alih kuasa pada Julai 2018.

Bekas pemain antarabangsa Brazil Leonardo meletak jawatan sebagai pengarah sukan pada awal tahun ini untuk menyertai Paris Saint-Germain dan dua bekas bintang Paolo Maldini dan Zvonimir Boban mengambil alih tugasnya.

Bekas jurulatih Inter Milan Luciano Spalletti dilaporkan menjadi pilihan nombor satu pasukan itu sebagai jurulatih mereka seterusnya.

Bagaimanapun, pengurus berusia 60 tahun itu tidak dapat menyetujui terma pemberhentian kerja dengan Inter, di mana dia masih di bawah kontrak sehingga 2021, walaupun digantikan oleh Antonio Conte. — AFP

Advertisement