Anda di sini

Pesakit terima bantuan JKM tidak perlu bayar pembedahan katarak - Dr Wan Azizah 

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Pesakit yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dikecualikan daripada membuat sebarang pembayaran untuk pembedahan katarak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata di bawah Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) pula, lensa untuk pembedahan katarak adalah percuma, manakala kos pembedahan yang terlibat sangat minimum iaitu RM103.

Ketika melancarkan sambutan Hari Penglihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di sini hari ini, Dr Wan Azizah yang juga pakar oftalmologi berkata kesedaran di kalangan orang ramai untuk mendapatkan rawatan yang bersesuaian sekiranya mempunyai masalah penglihatan perlu ditanamkan.

"Stigma negatif mengenai pembedahan mata harus diatasi supaya pesakit mendapat rawatan yang sepatutnya secepat mungkin untuk mengelakkan keadaan mata menjadi semakin teruk disebabkan takut untuk menjalani pembedahan,” katanya.

Menurutnya, penyebab utama kebutaan di kalangan rakyat Malaysia adalah katarak pada 58 peratus, retinopati diabetik pada 10 peratus dan glaukoma tujuh peratus.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata program 'Cataract Finder' yang dijalankan di Rumah Seri Kenangan pada 16 Julai lepas telah merujuk 21 penghuni institusi warga emas itu untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut di hospital.

Daripada jumlah itu, seramai 18 orang didapati menghadapi masalah katarak dan akan menjalani pembedahan dalam waktu yang terdekat, katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

'Cataract Finder' adalah program yang melibatkan petugas kesihatan melatih orang awam yang terdiri daripada pengamal optometri swasta, pakar optik, ahli farmasi komuniti dan petugas-petugas institusi tentang teknik-teknik asas mengesan masalah penglihatan.

Semasa menggesa program Cataract Finder itu diperluaskan ke lebih banyak institusi dan pusat jagaan warga emas, Dr Wan Azizah turut mencadangkan supaya program kesedaran mengenai kesihatan mata dilaksanakan di institusi dan pusat jagaan kanak-kanak bagi menerapkan kesedaran penjagaan mata sejak kecil.

Dalam sidang media kemudiannya, Dr Wan Azizah berkata Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan kajian mengenai kesan aktiviti bermain gajet dan bersukan ke atas peningkatan kes myopia (rabun jauh) di kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun pada tahun depan.

“Kajian itu bertujuan untuk melihat ada atau tidak perbezaan refractive error atau masalah rabun penglihatan dalam kalangan kanak-kanak dari aktiviti dalam dan luar rumah,” katanya, yang menjelaskan aktiviti dalam rumah merujuk kepada bermain gajet manakala aktiviti luar rumah ialah bersukan.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya mengehadkan masa penggunaan gajet anak-anak kepada kurang dua jam sehari.

“Bahaya kalau banyak sangat (tengok) skrin untuk kanak-kanak. Retina paling sensitif, kalau retina rosak, tiadalah penglihatan,” katanya. - Bernama 

Advertisement