Anda di sini

Mexico sertai siasatan AS berkaitan kekayaan "El Chapo" Guzman

Advertisement
Jaoquin "El Chapo" Guzman - Gambar Reuters/fail
Joaquin "El Chapo" Guzman - Gambar Reuters/fail

BANDAR MEXICO: Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador pada Rabu berkata kerajaannya kini bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) untuk menyiasat kekayaan raja dadah yang telah disabitkan kesalahan Joaquin "El Chapo" Guzman, lapor agensi berita China Xinhua.

"Kami sudah berbincang. Kami telah menghubungi pihak berkuasa kerajaan AS berkaitan hal itu," kata Lopez Obrador dalam sidang akhbar hariannya.

"Kami akan berusaha mendapatkan semula kesemua aset itu, bagi memastikan semua aset yang telah dirampas dan disimpan di luar negara dikembalikan kepada Mexico," katanya.

Kerajaan AS telah mengarahkan lebih US$12.6 bilion aset Guzman yang dikumpul melalui aktiviti pengedaran dadah disita.

Guzman, bekas ketua organisasi pengedaran dadah terbesar dunia Sinaloa Cartel, telah dihukum penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah AS pada Julai selepas disabitkan kesalahan mengedar dadah, jenayah terancang dan konspirasi untuk melakukan pembunuhan.

Beliau berjaya meloloskan diri dari penjara Mexico sebanyak dua kali sebelum ditangkap semula pada 2016 dan diekstradisi ke AS pada 2017. - Bernama 

Advertisement