Anda di sini

Menteri Indonesia Wiranto cedera ditikam sejurus keluar dari kereta 

Advertisement
WIRANTO - Gambar fail Reuters
WIRANTO - Gambar fail Reuters

JAKARTA: Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum, dan Keamanan Indonesia, Wiranto, cedera ditikam sejurus keluar dari keretanya untuk menghadiri satu majlis di Banten.

Wiranto, 72, yang menghadiri beberapa acara di Pandeglang, Banten sejak awal pagi, tiba pada satu majlis di Alun-alun Menes, Kecamatan Pandeglang, untuk menghadiri satu lagi majlis bersama penduduk.

Sejurus keluar dari keretanya, seorang lelaki bertindak menyerang dan menikam bahagian perut Wiranto dengan menggunakan gunting, dalam kejadian 11.50 pagi waktu Indonesia Barat.

Polis Indonesia dalam satu kenyataan berkata, dua suspek telah ditahan dalam kejadian itu dikenali sebagai Syahril Alamsyah, 31, dan Fitri Andriana Sunarto, 21 tahun.

Dalam kejadian itu, dua lagi termasuk seorang anggota polis dan orang awam turut cedera terkena tikaman gunting dari suspek lelaki itu.

Wiranto dikejarkan ke Klinik Menes Medical Center di Pandeglang untuk rawatan awal, sebelum dipindahkan ke Rumah Sakit Umum Daerah Pandeglang untuk rawatan lanjut. - Bernama 

Advertisement