Anda di sini

Lucas Kalang turut sertai kursus kejurulatihan di Jepun

Advertisement
 (Berdiri, dua kanan) Lucas sempat merakam kenangan bersama jurulatih lain.
TINGKAT PENGETAHUAN: (Berdiri, dua kanan) Lucas sempat merakam kenangan bersama jurulatih lain.

KUCHING: Jurulatih Sarawak, Lucas Kalang Laeng antara sembilan jurulatih dari pasukan Liga Malaysia sedang menyertai Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional AFC 2019-2020 modul keempat yang diadakan dari 1 hingga 14 Oktober ini di Jepun.

Selain jurulatih dari Malaysia, kursus tersebut turut disertai 11 jurulatih dari luar negara.

Kursus tersebut terbuka kepada jurulatih yang mempunyai lesen ‘A’ AFC selama dua tahun dan mempunyai pengalaman mengendalikan pasukan kebangsaan atau kelab profesional.

Lesen Diploma Profesional AFC ini merupakan antara lesen tertinggi dalam karier jurulatih bola sepak.

Selain Lucas, jurulatih lain daripada Liga Malaysia yang terlibat ialah Dollah Salleh (Pahang), Mehmet Durakovic (Perak), Aidil Sharin Sahak (Kedah), Abu Bakar Fadzim (PKNP FC), Nidzam Jamil (FELDA Utd), Nafuzi Zain (Terengganu FC), Yusri Che Lah (Kelantan), K. Devan (PJ City) Zainal Abidin Hassan (Melaka United) Choong Yee Fatt (KL) dan Razip Ismail.

Menurut kenyataan daripada laman facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), modul kali ini melibatkan lawatan ke dua kelab profesional di Jepun yang berpangkalan di Osaka dan Saitama iaitu Cerezo Osaka dan Omiya Ardija.

Barisan jurulatih yang terlibat menginap di J-GREEN Sakai di Osaka yang merupakan sebuah kompleks latihan bola sepak yang dikelilingi 24 buah padang.

Modul kali ini dikendalikan instruktur UEFA dari Denmark, Flemming Mark Serritslev dan dibantu Ketua Unit Pendidikan Jurulatih FAM, David Abela.

Hari pertama modul ini meliputi lawatan ke kompleks J-GREEN Sakai oleh Timbalan Pengarah dari Jabatan Perhubungan Antarabangsa Persatuan Bolasepak Jepun, Takashi Matsunaga.

Sepanjang berada di Jepun, barisan jurulatih akan menyaksikan sesi latihan pasukan J-League, perlawanan J-League serta perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang melibatkan pasukan tuan rumah, Blue Samurai.

Dengan pengiktirafan sebagai salah satu daripada ahli Kategori A Konvensyen Kejurulatihan AFC, FAM kini boleh menganjurkan dan menjalankan Kursus Kejurulatihan peringkat tertinggi mengikut kategori masing-masing tanpa perlu menjalani proses lama untuk mendapatkan kelulusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Advertisement