Anda di sini

Kerajaan GPS miliki keberanian untuk berdikari: KM

 Abang Johari tiba pada Majlis Pelantikan Ahli Jawatankuasa Persekutuan Persatuan Cina Sarawak bagi tempoh 2019 hingga 2022 di Kuching, malam kelmarin.
SAMBUTAN: Abang Johari tiba pada Majlis Pelantikan Ahli Jawatankuasa Persekutuan Persatuan Cina Sarawak bagi tempoh 2019 hingga 2022 di Kuching, malam kelmarin.

KUCHING: Sarawak di bawah pimpinan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengambil pendekatan berani dengan berpisah daripada Barisan Nasional (BN) yang sudah 56 tahun menjadi ‘tongkat’ kepada negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak selama tempah tersebut bergantung kepada BN di Putrajaya khususnya daripada aspek pembangunan negeri.

“Sekarang, kita sudah tidak bergantung kepada mereka (BN) dan perlu berdiri di atas kaki sendiri.

“Saya percaya kita boleh melakukannya sendiri apatah lagi Sarawak mempunyai banyak sumber, namun kekurangan bakat manusia.

“Apabila kita ada kepakaran ini dan tahu hak kita, saya rasa kita akan jadi lebih baik daripada Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelantikan Ahli Jawatankuasa Persekutuan Persatuan Cina Sarawak bagi tempoh 2019 hingga 2022 di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin (Selasa).

Sehubungan itu, beliau menyeru semua kaum untuk bergabung supaya Sarawak mempunyai polisi yang lebih baik pada masa depan dengan menjadikan pendidikan sebagai kunci utama.

‘Sarawak bertuah kerana mempunyai sumber yang diperlukan untuk menjadi sebuah negeri yang membangun.

“Kita hanya perlu fokus dengan pembangunan negeri agar kita boleh muncul sebagai kunci pembangunan di Malaysia,’ katanya.

Menurut beliau, GPS mempunyai rancangan tersendiri sebagai usaha membangunkan negeri ini secara menyeluruh.

“Oleh itu, kita mengalu-alukan penglibatan pelbagai komuniti dan sektor perniagaan dalam menjadikan Sarawak sebagai negeri termaju menjelang tahun 2030,” ujarnya.

Beliau menambah, sebagai langkah untuk memperjuangkan hak di bawah Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kita mewujudkan beberapa dasar.

“Salah satunya seperti pengenalan cukai jualan terhadap minyak dan gas Sarawak sebanyak lima peratus.

“Saya memperkenalkan cukai ini mengikut undang-undang sebagai pendapatan tambahan Sarawak.

“Sebagai contoh, apabila Petronas beroperasi di Kanada, ia tertakluk kepada undang-undang negara itu dan apabila beroperasi di Sarawak, ia harus menghormati undang-undang kita,” ujarnya.

Dengan dana tambahan terbabit, kata beliau, ia akan membolehkan Kerajaan Sarawak melaksanakan pembangunan di negeri ini termasuk pemberian geran kepada sekolah Cina.

Pada majlis itu, Abang Johari turut memberi jaminan untuk berusaha mendapatkan tanah bagi membina bangunan Persekutuan Persatuan Cina Sarawak serta akan terus membantu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negeri ini.

Hadir sama, Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak Datuk Richard Wee, Presiden Persekutuan Cina Malaysia (Huazong) Tan Sri Dato Sri Panglima Goh Tian Chuan, bekas Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak Datuk Hii Teck Tun serta tetamu kehormat lain.