Anda di sini

Kanak-kanak perempuan maut jatuh lubang kumbahan

Advertisement
 
Kanak-kanak lima tahun Nur Ariesha Abdul Rahman maut dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di rumah neneknya di Batu 5, Kuantan, semalam. - Gambar Bernama
Kanak-kanak lima tahun maut dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di rumah neneknya di Batu 5, Kuantan, semalam. - Gambar Bernama

KUANTAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut akibat lemas selepas disyaki terjatuh ke dalam lubang kumbahan semasa bermain di rumah neneknya di Batu 5, Jalan Gambang di sini, semalam. 

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata mayat Nur Ariesha Abdul Rahman dijumpai dalam keadaan terapung selepas penduduk di kawasan itu mencari mangsa yang tidak pulang ke rumah selepas keluar bermain pada 5 petang. 

Mangsa yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik dikatakan keluar bersama dua abangnya berusia tujuh dan lapan tahun untuk ke rumah nenek mereka yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka. 

"Pencarian menemui mangsa sekitar 8 malam apabila penduduk memeriksa lubang kumbahan itu yang berada dalam keadaan terbuka. 

Siasatan awal mendapati salah seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang turut bermain dengan mangsa telah membuka lubang kumbahan itu sebelum penutupnya terjatuh dan tenggelam ke dasar," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Mohamad Noor berkata rakan sepermainan mangsa telah meninggalkan kawasan itu dalam keadaan lubang kumbahan itu terbuka tanpa menyedari mangsa berada dalam kalangan mereka dan kembali bermain di kawasan lain sebelum pulang. 

Kehilangan mangsa hanya disedari oleh abang mangsa selepas tiba di rumah menyebabkan ibunya, Helmi  Nordin, 39, meminta pertolongan jiran untuk mencari dan menghebahkan kehilangan itu di laman sosial. 

Kematian Nur Ariesha berlaku hanya berselang dua hari selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun Mohammad Anas Hadif Ahmad Hafiz lemas juga akibat terjatuh ke dalam lubang kumbahan di Ipoh, Perak. 

Sementara itu, usaha untuk menemu bual ibu mangsa di lokasi kejadian pada tengah malam tadi dan di Bahagian Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini, tidak berhasil kerana beliau dan anggota keluarga lain enggan ditemu bual. 

Ibu mangsa yang menjual kuih berhampiran rumah juga dilihat ditenangkan anggota keluarga semasa menuntut jenazah mangsa yang difahamkan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pandan 2 di sini, selepas solat Asar hari ini. - Bernama 

Advertisement