Anda di sini

Didenda gara-gara pusat hiburan tiada lesen

Advertisement

KUCHING: Seorang penjaga premis pusat hiburan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana menjalankan pusat hiburan tanpa lesen.

Majistret Mohd Syukri Mokhtar menjatuhkan hukuman itu terhadap Sii Mai Hong selepas dia mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan wanita berusia 36 tahun itu dipenjara dua bulan sekiranya dia gagal membayar denda terbabit.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menjalankan pusat hiburan tanpa lesen yang sah di bawah Ordinan Hiburan 2000 pada 6 Julai lalu, jam 12.30 tengah malam di sebuah premis di Jalan Stutong.

Beberapa peralatan termasuk sistem bunyi dan karaoke, sebuah televisyen, mikrofon, pembesar suara serta cakera video digital (DVD) juga dirampas sebagai barang kes.

Untuk kesalahan terbabit, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(1)(b) Ordinan Hiburan 2000.

Hukuman yang diperuntukkan bagi sekyen tersebut adalah denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nelson Ensit, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu di SIBU, seorang pemilik sebuah pusat hiburan dikenakan denda RM7,000 atau enam bulan penjara atas tuduhan menjalankan operasi tanpa lesen hiburan yang sah daripada pihak berkuasa.

Catherine Gadut, 54, mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 5(1) Ordinan Hiburan 2000 dan dibenarkan bebas setelah membayar denda terbabit.

Seksyen 5(1) ini memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit dengan kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Catherine sebagai penjaga pusat hiburan didakwa melanggar syarat lesen hiburan awam yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dengan beroperasi tanpa lesen hiburan yang sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 7 Julai 2019, kira-kira jam 3.15 pagi di sebuah pusat hiburan di Jalan Tuanku Osman.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota polis diketuai Inspektor Hairul Hussin telah menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan Tuanku Osman.

Setiba di pusat hiburan terbabit, terdapat beberapa pelanggan berada di dalam premis dan muzik masih dimainkan dengan kuat.

Setelah memperkenalkan diri kepada penjaga premis iaitu tertuduh, pengadu kemudian meminta tertuduh menunjukkan lesen perniagaan.

Pihak polis kemudian merampas peralatan audio dan minuman keras yang dijumpai di dalam premis tersebut yang didapati beroperasi lebih masa.

Siasatan kemudian mendapati premis didaftarkan atas nama tertuduh dan tidak mempunyai lesen hiburan yang sah.

Advertisement