Anda di sini

CUEPACS: Kerajaan diharap pertimbang insentif anggota, pegawai imigresen bertugas di pintu masuk negara 

Advertisement
AZIH
AZIH

JOHOR BAHRU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap agar kerajaan mempertimbangkan pemberian bayaran insentif kepada anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas di pintu-pintu masuk negara dalam pembentangan Belanjawan 2020.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata pemberian insentif itu penting berikutan terdapat kemungkinan anggota dan pegawai yang bertugas terdedah kepada risiko kesihatan daripada pencemaran asap dan sebagainya.

Katanya, setakat ini insentif berkenaan hanya diberikan kepada petugas di depot tahanan imigresen dan bahagian penguatkuasaan seluruh negara.

“Sebelum ini ada minta, tetapi nampak agak perlahan dari segi proses. Jadi kami berharap ini dapat jadi sebagai motivasi kepada pegawai dan anggota yang bertugas.

"Kerana tidak banyak iaitu RM200 sahaja untuk seorang...jadi pertimbangkanlah,” katanya selepas sesi dialog anjuran Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, hari ini.

Buat masa ini, terdapat 5,297 anggota dan pegawai imigresen yang berkawal di pintu-pintu masuk negara.

Beliau turut memberi cadangan kepada pihak kerajaan agar menambah kamera litar tertutup (CCTV) di kesemua pintu-pintu masuk negara yang dilihat tidak mencukupi.

“Seperti di BSI, kami lihat bangunan ini sangat kekurangan dari segi CCTV, maknanya kalau ada apa-apa berlaku, kita tidak boleh lakukan semak dan imbang ataupun lakukan semakan semula,” katanya.

Azih juga berkata terdapat permohonan untuk mewujudkan sebuah pusat kesihatan ataupun klinik harian untuk kegunaan anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi yang bertugas termasuk orang awam di BSI.

“Sekiranya ada kecemasan seperti kemalangan dalam kompleks, susah. Jika ada orang kena serangan jantung dan sesak nafas mahu dibawa ke mana.

Jadi ini antara penambahbaikan... dan kita mulakan di BSI terlebih dahulu,” katanya. - Bernama 

Advertisement