Anda di sini

Bayi perlu dana untuk pembedahan jantung di IJN

Advertisement
 Rosa bersama suami, Ryan (lima kanan) dan bayi mereka menunjukkan surat pengesahan doktor pakar bergambar dengan presiden dan wakil persatuan yang memberi sokongan kepada mereka berdua dan bayi berkenaan.
MOHON BANTUAN SEGERA: Rosa bersama suami, Ryan (lima kanan) dan bayi mereka menunjukkan surat pengesahan doktor pakar bergambar dengan presiden dan wakil persatuan yang memberi sokongan kepada mereka berdua dan bayi berkenaan.

MIRI: Beberapa pertubuhan berasaskan kaum Dayak di sini, semalam merayu derma ikhlas orang ramai untuk membantu menampung kos pembedahan jantung seorang bayi berusia sebulan.

Bayi perempuan yang dilahirkan pada 9 September lalu itu dan diberikan nama Wienie Song disahkan doktor pakar mengalami masalah jantung dengan satu injap sahaja dan memerlukan pembedahan segera di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Anak tunggal pasangan Rosa Injan Taja dan Ryan Ujang itu mulai dikesan mengalami masalah jantung pada hari kedua selepas kelahirannya pada 10 September lalu.

Menurut Rosa, beliau dan suami sudah dimaklumkan doktor pakar di sini, jika pembedahan tidak dilakukan dalam kadar segera, ia boleh meragut nyawa bayinya yang dianggarkan mempunyai jangka hayat enam bulan.

Bagaimanapun katanya, kos bagi membiayai pembedahan berkenaan menelan belanja RM100,000 dan tidak mampu ditanggung mereka.

“Sehubungan itu, saya tidak mempunyai pilihan lain, tetapi merayu kepada pihak NGO dan orang awam untuk membantu saya dan suami menampung kos pembedahan tersebut,” ujar beliau sebak.

Hasil pertemuan dengan doktor yang memeriksa bayinya di sini, pada 7 Oktober lalu, bayi tersebut perlu dibawa ke IJN untuk pemeriksaan segera dan satu-satunya cara menyelamatkan nyawanya ialah dengan membuat pembedahan segera.

Kedua-dua ibu dan bayi akan berlepas ke IJN Kuala Lumpur pada 14 Oktober ini.

Sementara itu, seorang presiden NGO kaum Dayak di sini turut merayu orang ramai yang mahu menghulurkan derma mereka bagi membantu menampung kos pembedahan bayi berkenaan, boleh berbuat demikian sama ada menerusi persatuan masing-masing bagi ahli atau terus kepada keluarga bayi tersebut.

Bagi yang mahukan maklumat lanjut boleh berhubung atau WhatsApp terus kepada Rosa di talian 019-8545119.

Antara presiden dan wakilnya yang hadir bagi menyatakan sokongan moral kepada Rosa dan suaminya semalam ialah Vicky Gulin Shandom daripada Persatuan Gagasan Anak Dayak Sarawak (GADS) Elias Lipi Mat daripada Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Ugik Jalit (Terabai Menua) dan ahli-ahli jawatankuasa kebajikan Terabai Menua.

Advertisement