Anda di sini

Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri terima penyertaan menggalakkan

Abang Karim (tengah) bersama Jefri (kanan) dan ahli jawatankuasa teknikal lain semasa sidang media di MPC, hari ini.

KUCHING: Sebanyak 22 syarikat dan organisasi menyertai Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri (CMIEA) 2019.

Pengerusi Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg menyifatkan ia penyertaan yang menggalakkan daripada komuniti perniagaan di Sarawak.

Katanya, 22 penyertaan berkenaan adalah untuk empat kategori iaitu kategori industri Kecil, Sederhana, Besar dan Anugerah Pengiktirafan Khas SBF.

"Daripada jumlah itu, tujuh syarikat daripada penyertaan kategori Kecil; Sederhana (tujuh syarikat); Besar (empat syarikat) dan bagi Anugerah Khas sebanyak empat organisasi.

"Kita menerima penyertaan yang amat menggalakkan pada anugerah kali ini dan bagi Anugerah Khas, ia adalah baharu,  yang akan memberi pengiktirafan kepada prestasi dan amalan terbaik oleh organisasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Majlis Malam Gala CMIEA 2019 yang dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Teknikal CMIEA, Jefri Ahmad Tambi di pejabat Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini, hari ini.

Abang Karim berkata, acara kemuncak bagi CMIEA adalah diadakan pada majlis makan malam Gala yang dijangka dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebagai tetamu kehormat.

Katanya majlis makan Gala akan diadakan pada 25 Oktober dan diadakan di Hotel Imperial di sini.

Tambah beliau, anugerah bertemakan "Produktiviti untuk Kemakmuran" akan terus mempraktikkan inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan proses dan amalan perniagaan untuk pembangunan ekonomi sarawak secara keseluruhan.

"CMIEA adalah program anugerah pengiktirafan korporat yang dianjurkan oleh SBF, disokong oleh kerajaan negeri.

"Ia adalah penghargaan tertinggi negeri dengan tujuan untuk mengiktiraf dan menghargai komuniti yang cemerlang di Sarawak," katanya.

Beliau berkata, pada majlis makan malam berkenaan juga turut diadakan satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara SBF bersama Persekutuan Perniagaan Singapura.

Untuk maklumat lanjut mengenai malam gala CMIEA 2019, hubungi Sekretariat SBF di talian 082-237148 atau emel ke admin@sbf.org.my.