Anda di sini

19 gelandangan dikesan di Sibu

Advertisement
Fatimah menyapa gelandangan pada program tersebut malam tadi.
Fatimah menyapa seorang lelaki pada program tinjauan gelandangan malam tadi.

SIBU: Program tinjauan gelandangan di pusat bandar ini malam Rabu mengesan kira-kira 19 orang yang ada diantaranya tidur di kaki lima.

Daripada jumlah itu, 15 adalah lelaki manakala empat wanita dengan 12 orang berusia 60 tahun ke atas, lima orang berusia 36 hingga 59 tahun dan dua orang berusia 18 hingga 35 tahun.

Kawasan tumpuan gelandangan di sekitar bandar Sibu adalah Rajang Esplanade (Jalan Maju / Wharf / Pasar Sentral Sibu (Jalan Channel), Dataran Tuanku Bujang Fasa I / Jalan Sanyan / Jalan Tukang Besi / Jalan Market (Pasar Malam), Jalan Wong Nai Siong dan Pintu Gerbang Sibu.

Antara isu yang dihadapi gelandangan adalah masalah mabuk, dibuang keluarga, mencari pekerjaan, tiada tempat tinggal dan masalah mental.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah yang mengetuai operasi itu, memberitahu sejak 2016, sejumlah 83 siri operasi dijalankan di seluruh negeri untuk menyelamatkan gelandangan.

Dalam operasi bersepadu yang dijalankan, beliau mendedahkan seramai 195 orang gelandangan diselamatkan antara tahun 2016 hingga 2019 dengan majoriti lingkungan umur 50 hingga 59 tahun dan diikuti 40 hingga 49 tahun.

Fatimah berkata program tinjauan ini adalah antara usaha mengenal pasti isu dan mewujudkan pangkalan data mengenai gelandangan di Sarawak.

"Hasil tinjauan ini, kementerian akan dapat mewujudkan pangkalan data sebagai 'evidence-based input' bagi menangani isu gelandangan dengan lebih berkesan di Sarawak," ujarnya kepada pemberita.

Operasi melibatkan 60 orang terdiri daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, Pejabat Residen Sibu, Pejabat Daerah Sibu, Majlis Perbandaran Sibu dan Polis Diraja Malaysia itu turut dihadiri Residen Bahagian Sibu Charles Siaw dan Timbalan Pengarah JKM Sarawak Mohamad Ali.

  • oleh
  • Advertisement