Anda di sini

Trak curi rempuh beberapa kereta di Jerman, 16 cedera

Advertisement
 Seorang pegawai polis dilihat mengambil gambar sebuah trak curi yang merempuh beberapa kereta di lampu isyarat                  di bandar Limburg, tengah Jerman kelmarin. — Gambar Sascha Ditscher/dpa/AFP
REMUK: Seorang pegawai polis dilihat mengambil gambar sebuah trak curi yang merempuh beberapa kereta di lampu isyarat di bandar Limburg, tengah Jerman kelmarin. — Gambar Sascha Ditscher/dpa/AFP

BERLIN: Sebuah trak curi merempuh beberapa kereta di bandar Limburg di tengah Jerman kelmarin menyebabkan beberapa orang tercedera, kata polis, sambil menambah bahawa pemandu trak itu telah ditahan.

“Berdasarkan apa yang kami ketahui dan menurut keterangan beberapa saksi, lelaki itu merampas kawalan ke atas trak pada jam 5.20 petang waktu tempatan,” kata polis dalam satu ke-nyataan.

Tidak lama kemudian, trak itu merempuh beberapa kereta yang berhenti di lampu isyarat berhampiran dengan stesen kereta api utama Limburg di negeri Hesse, “turut merosakkannya”.

“Beberapa orang sedang menerima rawatan di hospital” dan pemandu, yang berada dalam tahanan, meng-alami kecederaan ringan, tambah polis.

Agensi berita Jerman DPA memetik polis wilayah me-nyatakan jumlah yang tercedera seramai 16 orang termasuk seorang yang berada dalam keadaan kritikal.

Polis berkata, ia masih terlalu awal untuk membuat spekulasi mengenai satu motif.

“Buat masa sekarang kami tidak mempunyai maklumat yang mencukupi mengenai apa yang berlaku di sebalik-nya,” jelas mereka.

“Siasatan, termasuk me-nyoal siasat saksi dan me-ngumpul bukti, sedang dijalankan.”

Polis telah melakukan pengerahan anggotanya dan beberapa kenderaan, bersama sebuah helikopter berlegar-legar di ruang udara di bandar yang mempunyai seramai 35,000 penduduk, kira-kira sejam pemanduan dari ibu negeri kewangan Frankfurt.

Mereka menggesa pengguna media sosial agar tidak membuat sebarang kesimpulan berkenaan dengan motif.

“Kami tidak mengesam-pingkan apa pun,” jurucakap pasukan polis negeri dipetik oleh DPA sebagai berkata.

“Namun kami menyeru kepada anda, jangan terlibat dalam spekulasi!” polis wilayah menulis dalam beberapa kenyataan Twitter.

Akhbar Frankfurter Neue Presse (FNP) memetik pemandu trak yang sepatutnya, yang tidak dinyatakan nama-nya, sebagai berkata: “Seorang lelaki telah mengheret saya keluar dari lori.”

Beliau menyatakan lelaki itu, berusia dalam lingkungan 30-an mempunyai rambut pendek gelap dan berjambang, telah membuka pintu bahagian pemandu dengan mengejut dan memandang dia  dengan tajam sebelum memaksanya keluar dari kenderaan tersebut.

“Saya menanyakan dia, ‘Apa yang awak mahu daripada saya?’,” beliau memberitahu  FNP. “Dia tidak menjawab langsung.”

Akhbar memetik saksi sebagai berkata, trak itu kemudian memecut ke arah beberapa kereta yang diparkir sebelum tiba di satu perhentian beberapa meter dari lampu isyarat.

Ketika lelaki yang memandu trak putih itu muncul dari kemalangan, beberapa orang awam memberikan bantuan kecemasan, lapor FNP.

“Orang awam berkata pemandu tersebut menyebut ‘Allah’ beberapa kali” dan bercakap dalam bahasa Arab, lapor FNP. Pihak polis tidak mengesahkan keterangan ini.

Bettina Yeisley dari Limburg, yang mana pejabatnya betul-betul bersebelahan dengan tempat kejadian nahas, memberitahu FNP bahawa beliau mendengar bunyi yang sangat kuat dan berlari keluar ke arah jalan raya bersama dengan rakan sekerja.

Mereka menemui lelaki itu duduk di bawah sebatang pokok tanpa mengetahui bahawa dia telah memandu.

“Dia mengalami pendarahan dari hidung, tangannya turut berdarah, seluarnya koyak. Dia menyatakan semuanya sakit. Saya menanyakan nama dia dan dia menjawab, ‘Nama saya Mohammed’.”

Jerman telah berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas beberapa serangan jihad dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang diakui oleh militan Daesh (IS).

Serangan yang paling teruk dilakukan pada 2016 oleh seorang rakyat Tunisia berusia 23 tahun, Anis Amri, yang membunuh 12 orang apabila dia mencuri sebuah trak dan merempuh pasar Krismas di Berlin.

Pejabat bagi Perlindungan Perlembagaan, badan pemerhati keselamatan domestik Jerman, memberikan amaran pada April mengenai peningkatan risiko oleh pejuang IS yang kembali dari Syria dan utara Iraq.

Pengarahnya Thomas Haldenwang menyatakan ba-hawa dianggarkan 2,240 orang Islamis dengan “potensi sebagai pengganas” menetap di Jerman.

Pada Khamis lepas di negara jiran Perancis, seorang mualaf yang dilaporkan telah mula mengamalkan kepercayaan yang semakin radikal menikam mati empat rakan sekerja di balai polis Paris. — AFP

Advertisement