Anda di sini

Tiga lelaki ditahan bersama 33.18 gram syabu

Advertisement
 Batholomew (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan syabu yang diperoleh daripada suspek.
RAMPASAN: Batholomew (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan syabu yang diperoleh daripada suspek.

PAPAR: Tiga lelaki bakal berhadapan penjara seumur hidup selepas ditahan bersama 33.18 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM2,200 di sini dalam satu serbuan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata serbuan terbabit dilaksanakan selepas pihaknya menjalankan risikan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Biau Bongawan pada 7 Oktober.

"Serbuan yang dijalankan kira-kira jam 11.10 malam itu berjaya menemukan 11 paket plastik yang mengandungi hablur kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 33.18 gram.

"Hasil siasatan mendapati dadah terbabit yang dianggarkan bernilai RM2,200 pada harga pasaran tempatan dipercayai untuk diedarkan di sekitar sini dan kawasan sekitarnya," katanya semasa sidang media di IPD Papar semalam.

Batholomew berkata kesemua suspek berumur dalam lingkungan 30-an itu kini sedang ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39A(2), 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambahnya sekiranya didapati bersalah suspek boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau penjara seumur hidup dan 10 sebatan.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berumur 39 tahun ditahan polis selepas memiliki 5.10 gram syabu di Kampung Pandawan.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek berjalan dalam keadaan yang mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

"Sebaik diperiksa polis menemukan tujuh paket plastik dan lapan tiub straw kecil yang mengandungi ketulan hablur jernih dipercayai syabu dengan berat keseluruhan 5.10 gram dan mencecah RM550 pada harga pasaran tempatan," katanya.

Katanya suspek kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 39A (1) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga lima tahun serta sembilan sebatan.

  • oleh
  • Advertisement