Anda di sini

Tidak harus ada sekatan untuk kerajaan Sarawak mengenakan cukai jualan produk petroleum - JC Fong

Fong menunjukkan kenyataan pada sidang media di sini, hari ini. Turut kelihatan Sharifah Hasidah.t kelihatan Sharifah Hasidah.
Fong menunjukkan kenyataannya pada sidang media hari ini. Turut kelihatan Sharifah Hasidah.

KUCHING: Kerajaan Sarawak kekal dengan pendirian untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum yang dikeluarkan di negeri ini.

Penasihat Undang-Undang Negeri Sarawak Dato Sri JC Fong berkata di bawah semangat Perjanjian Malaysia 1963 dengan jelas dinyatakan dalam perenggan 24(1) Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) kini dilampirkan kepada MA63, kerajaan Sarawak ada hak untuk mengenakan cukai ke atas barangan diisytihar boleh dikenakan cukai termasuk cukai jualan.

Beliau berkata kerajaan Sarawak tidak bersetuju dengan pandangan Profesor Datuk Dr Shad Saleem Faruqi mengatakan kerajaan Sarawak tidak boleh mengenakan cukai ke atas produk petroleum kerana ia di bawah Senarai Persekutuan, iaitu kerajaan persekutuan mempunyai kuasa penuh kepada semua perkara berkaitan produk petroleum.

Menurutnya, Shad Saleem dilaporkan berkata kuasa perlembagaan di bawah Perkara 95B(3) iaitu kuasa umum untuk mengenakan cukai jualan negeri dan tiada sekatan sama ada cukai berkenaan dikenakan ke atas barangan dalam Senarai Persekutuan.

Fong berkata kerajaan Sarawak menegaskan tidak seharusnya ada sekatan untuk mengenakan cukai oleh badan perundangan persekutuan atau negeri.

Beliau berkata jika ada sekatan, maka cukai persekutuan tidak boleh dikenakan ke atas perkara yang di dalam Senarai Negeri seperti transaksi tanah dengan jelas sekali adalah perkara dalam Butiran 2(C) Senarai Negeri.

Jika perkara itu berlaku, ujarnya, kerajaan Sarawak boleh membantah undang-undang diluluskan Parlimen untuk mengenakan cukai ke atas hartanah dan duti setem bagi pemindahan atau transaksi tanah.

"Maka hujah (Shad Saleem) Faruqi tidak boleh sah dari segi undang-undang. Kami mempunyai pandangan lebih baik iaitu kerajaan negeri dan persekutuan boleh mengenakan cukai sama ada ke atas perkara di dalam senarai kita (Negeri) dan Senarai Persekutuan dan sebaliknya.

"Satu-satunya pertimbangan ialah sama ada cukai dikenakan ke atas transaksi atau aktiviti menjana pendapatan yang tertentu atau jualan barangan diisytihar sebagai barangan dikenakan cukai jualan maka tiada sekatan cukai jualan negeri hanya dikenakan ke atas perkara dalam Senarai Negeri atau Senarai Persekutuan," jelasnya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Sidang media itu diadakan bagi memberi maklum balas kepada kenyataan Shad Saleem berhubung hak kerajaan Sarawak mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum ke atas syarikat-syarikat terlibat dalam industri minyak dan gas di negeri ini termasuk Petronas.

Fong mempersoalkan kenyataan Shad Saleem dengan berkata jika benar cukai jualan persekutuan tidak boleh dikenakan ke atas perkara di bawah Senarai Negeri, kenapa cukai jualan dikenakan ke atas penyu, daging dan hasil penangkapan ikan sungai disenarai dalam Senarai Negeri.

Begitu juga dengan produk kayu meranti sedangkan perhutanan dengan jelas merupakan perkara disenaraikan dalam Senarai Negeri, tambahnya.

Justeru ujarnya, 'pengasingan tiruan' antara Senarai Negeri dan Senarai Persekutuan seperti dihujahkan oleh Shad Saleem menentukan pengenaan cukai jualan persekutuan dan negeri adalah tidak benar.

"Kita (kerajaan Sarawak) mengekalkan pendirian, kita boleh mengenakan cukai jualan ke atas mana-mana produk diisytiharkan sebagai barangan bercukai.

"Kita bercakap mengenai pengeluaran minyak dan gas seperti gas asli cecair (LNG) di Sarawak kemudian diekport atau dijual ke luar Sarawak, sesuatu yang dikeluarkan di Sarawak, iaitu Bintulu bukan di Semenanjung Malaysia," tegasnya.

Fong turut mempersoalkan bagaimana Shad Saleem mengetahui pertikaian Petronas berhubung cukai jualan ke atas produk petroleum sedangkan beliau tidak berada dalam jawatankuasa perundingan antara kerajaan negeri dan Petronas.

"Saya berharap beliau bukan 'alat sebaran' Petronas kerana Petronas tidak pernah bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas Sarawak seperti dikatakannya.

"Perkara itu tidak pernah dibangkitkan oleh Petronas dalam rundingan selama ini," katanya.

Fong berkata kerajaan negeri kini dalam rundingan dengan Petronas untuk menyelesaikan masalah itu dan kerajaan Sarawak mengemukakan tiga opsyen kepada syarikat pengeluaran minyak negara itu bagaimanapun enggan mendedahkannya secara terperinci.