Anda di sini

Sektor pendidikan perlu terus diberikan keutamaan 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap terus memberikan keutamaan terhadap sektor pendidikan dengan menambah peruntukan untuk bidang itu dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan di Parlimen Jumaat ini, bagi memastikan agenda pendidikan terus diperkasakan.

Naib Presiden Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata peruntukan itu penting antara lain bagi menjayakan hasrat kerajaan untuk meningkatkan keupayaan belia dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), demi melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Sebagaimana belanjawan lepas, kita mengharapkan kerajaan mempertimbangkan peruntukan yang lebih baik kepada rakyat khususnya dalam bidang pendidikan kerana kita tahu cabaran sekarang cukup hebat terutama dalam menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0)

“Jika boleh kita tidak mahu berlakunya pemotongan peruntukan dalam sektor ini kerana ia amat perlu untuk melaksanakan banyak perkara termasuk cadangan baharu penyediaan Program Sarapan Percuma (PSP) untuk kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya pada masa yang sama peruntukan juga diperlukan untuk meneruskan kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah-sekolah daif terutama di kawasan luar bandar Pantai Timur serta di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Sementara itu Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata sektor pendidikan di era Industri 4.0 menuntut perubahan, seiring transformasi digital agar dapat terus kekal berdaya saing memandangkan ia bakal memberi kesan langsung kepada  dunia pekerjaan masa depan.

“Antara perkara yang diberikan perhatian serius ialah ruang kerjasama antara institusi pendidikan dan teknikal serta industri.

“Di peringkat pendidikan tinggi misalnya, ia berkisar kepada pembangunan bakat dan bidang teknologi baharu, digital dan kejuruteraan bertujuan mempersiapkan graduan untuk pasaran kerja dalam pengeluaran pintar,” katanya.

Menurutnya sebelum ini sokongan kerajaan terhadap pembangunan TVET agak konsisten apabila institusi yang mendominasi latihan kemahiran terus menerima sejumlah peruntukan bagi melatih calon pekerja mahir dan separa mahir di peringkat sijil dan diploma.

Ia termasuk memperkenalkan dana-dana tertentu yang antaranya ialah Dana Wibawa Pendidikan TVET dan Program Bootcamp berkaitan TVET untuk meningkatkan kompetensi belia.

Sehubungan itu, katanya peruntukan untuk pembangunan TVET terutamanya melibatkan Jaringan Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) termasuk UMP, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), dan beberapa universiti lain perlu terus diberi penekanan bagi membolehkan institusi ini meningkatkan kualiti pendidikan TVET aras tinggi dan juga menjalankan penyelidikan memenuhi keperluan industri.

Pada masa sama Belanjawan 2020 juga diharapkan dapat memperbanyakkan geran bagi melatih bakal graduan dan menggalakkan pemindahan teknologi dari universiti kepada masyarakat menerusi sokongan dana industri dan aktiviti penyelidikan di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Beliau turut mengharapkan kerajaan dapat menyediakan satu mekanisme untuk mengatasi masalah sara hidup pelajar di universiti dengan memperuntukan bantuan bagi membolehkan universiti awam menyediakan makanan kepada kumpulan sasaran secara berterusan menerusi konsep dewan makan.

Peruntukan itu, katanya membolehkan pengusaha kafe diberikan insentif untuk menyediakan makanan kepada pelajar di universiti dan kerajaan boleh mengadakan sistem "anak angkat" yang mana pelajar diberi makan dan melakukan kerja sambilan di kafe di universiti dengan memberi subsidi bekalan mentah kepada pengusaha.

“Langkah ini akan memberi faedah kedua-dua pihak yang terbabit supaya pelajar dapat meneruskan pengajian tanpa memikirkan perbelanjaan makanan dan universiti dapat memberi tumpuan dalam melahirkan graduan yang berketerampilan sesuai dengan keperluan industri,” katanya. - Bernama

Advertisement