Anda di sini

Sarawak sedia hadapi fenomena Monsun Timur Laut

Advertisement
Uggah menyerahkan topeng muka kepada APM Negeri Sarawak selepas mesyuarat JPBN (Monsun Timur Laut) hari ini
Uggah menyerahkan topeng muka kepada APM Negeri Sarawak selepas mesyuarat JPBN hari ini

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak kini bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut dengan kekuatan seramai 14,970 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi di negeri ini.

Menurut Jawatankuasa itu, antara agensi terlibat ialah Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak.

"Dari segi logistik pula, sebanyak tiga helikopter, lima dron, 211 lori, 500 kenderaan pacuan empat roda, 291 bot dan 111 ambulans disediakan.

"Sebanyak 622 pusat pemindahan yang dapat menempatkan seramai 195,825 orang disediakan di seluruh bahagian negeri ini," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
 
JPBN Sarawak berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menyediakan pangkalan hadapan sebanyak 16 kawasan iaitu Kuching (2), Kapit (4), Bintulu (3) dan Miri (7). 

"Bagi stor dan depot pula, terdapat tiga kawasan iaitu satu di Ibu Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuching, Samarahan dan Miri dengan jumlah 154 pembekal di seluruh negeri Sarawak disediakan bagi persediaan menghadapi musim monsun laut timur yang dijangka berlaku November 2019 hingga Mac tahun depan," ujarnya.

Berdasarkan ramalan cuaca di Bintulu dan Miri,  JPBN Sarawak berkata, ia  dijangka menerima jumlah hujan antara 300 milimeter hingga 500mm pada November dan Disember.

"Bahagian Sri Aman, Sarikei, Mukah dan Sibu pula dijangkamenerima jumlah hujan di antara 400mm hingga 550mm pada Disember dan Januari. 

“Manakala pada bulan Januari dan Februari, Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian dijangka menerima jumlah hujan yang tinggi di antara 400mm hingga 800mm," katanya.

Pada masa ini, kata kenyataan itu, negara sedang mengalami peralihan monsun dan akan dijangka berlaku sehingga pertengahan November. 

"Semasa fasa ini,  kejadian hujan lebat dan ribut petir setempat dalam jangka masa singkat serta angin kencang lebih kerap berlaku pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan bahagian di Sarawak terutamanya di Bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit dan Bintulu," ujarnya,

Dalam pada itu, Uggah berkata selaku pengerusi mesyuarat JPBN Sarawak, beliau akan melihat isu-isu berkaitan pengurusan bencana dan mengambil langkah sewajarnya bersama jabatan dan agensi berkaitan.

"Ia bagi memastikan jentera pengurusan bencana di semua peringkat dapat berjalan lancar, " katanya.

Mesyuarat hari ini adalah bagi menghadapi musim monsun timur laut  pada bulan November 2019 hingga Mac 2020 yang mengakibatkan beberapa siri hujan monsun yang menyeluruh dijangka berlaku lebih tertumpu di bahagian tengah dan barat Sarawak.

Turut diadakan selepas mesyuarat itu ialah  majlis penyerahan sebanyak 3,000 keping penutup hidung dan mulut AirPlus Smart Mask dan 200 keping AirPlus Micro Ventilators kepada APM Negeri Sarawak oleh Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri.

Sumbangan itu adalah daripada Temasek Foundation International CLG Limited melalui Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak (STATOS).

  • oleh
  • Advertisement