Anda di sini

Sabah perlu ada bank data pecahan jantina

Advertisement
 Norazlinah (tengah) menerima cenderahati daripada Noni (dua kiri). Turut kelihatan Rashidah (kanan) dan Masturah (dua kanan).
CENDERAHATI: Norazlinah (tengah) menerima cenderahati daripada Noni (dua kiri). Turut kelihatan Rashidah (kanan) dan Masturah (dua kanan).

KOTA KINABALU: Usaha untuk mengumpulkan data berhubung pecahan jantina (lelaki dan wanita) perlu dilaksanakan di negeri ini.

Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Norazlinah Arif berkata, kementeriannya akan berusaha untuk mewujudkan bank data berkaitan pecahan jantina dalam pelbagai sektor.

Langkah berkenaan jelasnya, sebagai langkah untuk memartabatkan kedudukan wanita di negeri ini.

Katanya, usaha sedemikian bukan sahaja membolehkan kerajaan menerusi Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) mengukur tahap kemajuan dan pembangunan wanita di Sabah.

"Malah ia akan memudahkan kerajaan untuk menilai perkembangan wanita dalam tempoh masa tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Penutupan Program Perbincangan Meja Bulat Data Pecahan Jantina dan Analisis Gender di sini kelmarin.

Norazlinah berkata, program berkenaan adalah langkah awal kementerian dalam memastikan usaha pengumpulan data mengenai pecahan jantina (lelaki dan wanita) dapat dijayakan.

Sementara itu, Profesor Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (Kanita) Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Datuk Rashidah Shuib berkata, kerajaan Sabah perlu mengambil langkah awal pelaksanaan pendaftaran data mengikut jantina.

Menurutnya, ia bagi memastikan agenda pembudayaan gender di negeri ini dapat dijayakan.

"Langkah ini akan membantu usaha pengumpulan data mengikut jantina dalam pelbagai sektor dapat dilakukan dengan lebih menyeluruh.

"Dengan adanya bank data dan sistem yang lengkap mengenai wanita, ia akan memudahkan kerajaan dan sesiapa sahaja mendapatkan maklumat tentang penglibatan dan perkembangan wanita di Sabah," jelasnya.

Kira-kira 80 peserta mengikuti program yang dianjurkan oleh JHEWA dan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS).

Turut hadir, Pengarah JHEWA Masturah Jamrah dan Pengerusi MPWS Datuk Noni Said.

  • oleh
  • Advertisement