Anda di sini

Sabah optimis bentuk skuad impian

Advertisement
 Peter (kanan) bersama pengurus pasukan, Henry Saimpon (tengah) menyaksikan pasukan berlatih dan ujian terhadap dua calon import dari Brazil dan Argentina di Stadium Likas malam semalam.
PANTAU: Peter (kanan) bersama pengurus pasukan, Henry Saimpon (tengah) menyaksikan pasukan berlatih dan ujian terhadap dua calon import dari Brazil dan Argentina di Stadium Likas malam semalam.

KOTA KINABALU: Sabah optimis mampu membentuk skuad impian yang bakal dipertaruhkan bagi mengharungi cabaran baharu lebih besar dalam Liga Malaysia termasuk saingan  Liga Super musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony berkata, perancangan untuk menjelmakan skuad impian itu sudah ada dan telah bermula.

"Kami sedang berusaha membentuk skuad impian iaitu skuad Tambadau Sabah yang kehadirannya benar-benar dirasai dalam Liga Malaysia musim depan. Menguji dua calon import dari Brazil dan Argentina seperti yang anda lihat malam ini adalah antara usaha awal kami.

"Skuad impian ini melibatkan tambahan kualiti dan pengalaman dalam pasukan termasuk dengan membawa masuk beberapa pemain baharu, sama ada pemain import tempatan atau luar negara," kata Peter.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menyaksikan pasukan berlatih dan ujian terhadap calon import dari Brazil, Laerci Gomes Costa, 29,  dan Jose Augusto Sardon, 30, dari Argentina di Stadium Likas malam semalam.

Mengenai calon import yang bermain di posisi tengah dan serangan itu, Peter berkata, pemilihan pemain import hanya akan diputuskan selepas ada yang benar-benar sesuai untuk pasukan.

"Ada beberapa calon import luar negara lagi yang berminat dan akan datang untuk menjalani ujian pemilihan. Kita akan lihat calon-calon import ini dan buat penilaian sebelum buat keputusan.

"Kalau tidak ada yang menepati kehendak kita, kami akan mencari sendiri di luar negara sehingga dapat yang benar-benar sesuai. Kami mungkin akan cari di Korea, Jepun atau Indonesia," katanya.

Sambil itu, Peter membayangkan kemungkinan Sabah juga bakal dibarisi beberapa import tempatan baharu.

"Sudah ada beberapa pemain (import tempatan) yang memang sesuai dan menepati keperluan pasukan kita telah menunjukkan minat menyarung jersi Tambadau. Kita sedang mempertimbangkan perkara ini.

"Pembentukan skuad impian ini juga bermakna kemungkinan ada pemain sedia ada yang digugurkan. Kita akan umumkan perkara ini dalam masa terdekat bagi membolehkan mereka yang tidak tersenarai mencari pasukan baharu," katanya.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berharap, pembentukan skuad Tambadau Sabah akan dapat dilengkapkan selewat-lewatnya sebulan atau sebulan setengah sebelum saingan musim depan bermula yang dijadualkan pada awal Februari.

"Skuad impian yang kita mahu bukan sahaja mantap dalam kesebelasan utama tetapi juga di bangku simpanan. Saya optimis kami mampu melakukannya kerana kali ini kami ada lebih banyak masa dan kami sudah memulakannya," katanya.

Sabah akan beraksi di Liga Super musim depan selepas muncul juara Liga Premier musim ini.

 Calon import dari Argentina, Sardon (kanan) dan Brazil, Laercia (tengah) dan import Sabah musim ini, Aguinaldo Mendes semasa latihan pasukan di Stadium Likas malam semalam.
CALON IMPORT: Calon import dari Argentina, Sardon (kanan) dan Brazil, Laercia (tengah) dan import Sabah musim ini, Aguinaldo Mendes semasa latihan pasukan di Stadium Likas malam semalam.
  • oleh
  • Advertisement