Anda di sini

Program sarapan percuma dijangka manfaatkan 2.7 juta murid seluruh negara - Maszlee 

Advertisement
 
MASZLEE

KUALA LUMPUR: Program Sarapan Percuma (PSP) yang dirancang dimulakan pada tahun depan, dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah seluruh negara, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata program itu akan mengguna pakai dua mekanisme bagi menjayakannya. 

“Mekanisme pertama ialah pengoperasian PSP selama 30 minit menggunakan kombinasi menu utama dalam bentuk makanan bermasak dan menu buah-buahan. 

“Mekanisme kedua pula ialah pengoperasian PSP selama 10 minit menggunakan kombinasi menu minuman produk tenusu seperti minuman berkhasiat dan menu makanan ringkas berkonsepkan sedia dimakan  seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih dan telur rebus,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini

Beliau menjawab soalan Sabri Azit (Pas-Jerai) yang mahu tahu mengenai mekanisme pelaksanaan PSP untuk semua pelajar sekolah rendah mulai tahun depan. 

Maszlee berkata senarai menu PSP dibangunkan bersama-sama dengan kepakaran pihak Kementerian Kesihatan dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi memenuhi khasiat yang diperlukan oleh murid.

Beliau berkata waktu pemberian sarapan pagi ialah sebelum 8.30 pagi bagi murid sesi pagi dan sebelum 4.00 petang bagi murid sesi petang serta dijadualkan secara berperingkat-peringkat mengikut kesesuaian sekolah.

”Waktu makan murid akan dijadualkan secara berperingkat-peringkat dan lokasi tempat makan murid akan dipelbagaikan menggunakan ruang ataupun bilik yang ada di sekolah. Ini dapat memberikan masa untuk murid mencuci peralatan makanan masing-masing. 

”Di samping itu, kaedah makanan di dalam kelas bersama-sama guru merupakan satu langkah praktikal daripada segi ruang dan hubungan mesra guru dengan murid dan membimbing mengenai adab,” katanya. 

Menyentuh mengenai kos, Maszlee menjelaskan program tersebut menelan belanja antara RM800 juta hingga 1.67 bilion, bergantung kepada jumlah hari persekolahan iaitu 200 hari. 

“Kos juga bergantung kepada penyediaan bahan mentah termasuk di kawasan pendalaman seperti di Sabah dan Sarawak. Kementerian juga akan memastikan pihak sekolah melaksanakan SOP yang ditetapkan bagi mengelak kejadian keracuan makanan,” tambahnya. - Bernama 

Advertisement