Anda di sini

PPM tahan bot nelayan, rampas pukat tunda

 Mata pukat tunda kurang 38mm yang dirampas oleh PPM berikutan tidak dibenarkan di negara ini.
HARAM: Mata pukat tunda kurang 38mm yang dirampas oleh PPM berikutan tidak dibenarkan di negara ini.

LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan berjaya menahan sebuah bot nelayan yang didapati melanggar syarat lesen di sini kira-kira jam 4.15 petang kelmarin.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata kejadian dikesan apabila botronda PSC1 menjalankan rondaan Op Gelora dan memeriksa sebuah bot pukat tunda di Jahat Shoal iaitu 17 batu nautika dari utara Tanjung Kubong di sini.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot dikendalikan juragan warga Indonesia berumur 35 tahun serta terdapat lima kru bot berumur 28 hingga 35 tahun yang juga warga Indonesia.

"Bot nelayan ini didapati melanggar syarat lesen kerana menggunakan mata pukat kurang daripada 38 milimeter (mm) iaitu kesalahan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985," katanya.

Menurutnya bot beserta dua gulung pukat tunda serta hasil laut pelbagai jenis kira-kira 500 kilogram dengan anggaran keseluruhan mencecah RM164,500 diiringi ke jeti PPM Labuan sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk siasatan selanjutnya.

Katanya PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengatur gerak aset bagi menjalankan rondaan agar pencegahan jenayah di perairan negara dapat dibanteras untuk memastikan keselamatan serta kesejahteraan awam sentiasa terjamin.