Anda di sini

Polis tahan dua lelaki, rampas dua motosikal curi

Advertisement
 Salah satu motosikal yang berjaya dirampas semula semasa penahanan suspek.
RAMPASAN: Salah satu motosikal yang berjaya dirampas semula semasa penahanan suspek.

BEAUFORT: Polis berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai menjalankan kegiatan pecah rumah dan tokong selain mencuri motosikal di beberapa kawasan termasuk Weston di sini.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata suspek masing-masing berumur 21 dan 24 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di sini.

"Bertindak dengan aduan orang awam berkenaan kehilangan dua buah motosikal di sini, kita menjalankan risikan sebelum mengesan suspek pertama di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kuala 2 Jalan Baru Kinarut Papar pada 8 Oktober kira-kira jam 10.38 pagi.

"Suspek berumur 24 tahun itu mengaku melakukan kegiatan mencuri motosikal sebelum memberikan pendedahan berkenaan rakan sejenayah di Beaufort," katanya.

Menurutnya hasil pendedahan itu kemudiannya berjaya mengesan seorang lagi suspek berumur 21 tahun yang ditahan di Kampung Luagan Senangin di sini kira-kira jam 9.37 pagi.

"Semasa serbuan dijalankan polis berjaya merampas dua buah motosikal yang dilaporkan hilang sebelum ini.

"Permohonan reman akan dibuat terhadap kedua-dua suspek bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, dua lelaki masing-masing berumur 27 dan 31 tahun ditahan selepas memiliki 5.28 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM600 dalam satu serbuan di Kampung Pimping Membakut.

Kedua-dua suspek warga tempatan itu kini ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • oleh
  • Advertisement