Anda di sini

PLOM sedia harungi cabaran sukan SEA

 Ronny (kiri sekali) bersama pegawai MSN dan para pegawai PLOM.
TERBAIK: Ronny (kiri sekali) bersama pegawai MSN dan para pegawai PLOM.

KOTA KINABALU: Buat pertama kali Persatuan Luncur Ombak Malaysia (PLOM) akan menghantar enam peluncur ombak  ke sukan SEA di Filipina hujung tahun ini setelah badan itu memperolehi sijil pendaftaran sebagai badan sukan daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia pada Ogos lepas.

Anggota pengurusan PLOM Malaysia, Ronny Rizal berkata, enam peluncur ombak itu ialah Mohamamad Didaqt Musaddiq, Mohd Nazrin Nasruddin, Mohd Daud Mohd, Mohd Suhaimi Hassan, Mona Rasidah Abdul Rashid dan Nur Alia Erika Mohd Azmi.

“Kita berharap penyertaan sulung PLOM ke sukan SEA dapat meraih kejayaan buat Malaysia. Peluncur ombak kami sudah membuat persediaan dengan menjalani modul latihan yang ditetapkan,” katanya.

Ronny berkata, dengan terdaftar PLOM sebagai badan sukan kebangsaan, pihaknya bercadang untuk menghantar peluncur ombak Malaysia ke pertandingan luncur ombak antarabangsa yang diiktiraf.

“Kami juga bercadang untuk memperkenalkan pembangunan sukan luncur ombak di peringkat akar umbi  dan melalui gabungan peringkat kelab seperti Sabah Surfing Association (SSA), Persatuan Luncur Ombak Terengganu (PLOT), Johor Surfing Association (PLOJ) dan banyak lagi kelab-kelab di seluruh Malaysia.

“Selain itu, sasaran PLOM ialah memilih peluncur ombak untuk mewakili Malaysia dalam mana-mana pertandingan luncur ombak peringkat antarabangsa,” katanya.

Katanya, walaupun sukan luncur ombak sudah lama bertapak di Malaysia, tetapi ia masih belum begitu terserlah sebab tidak mendapat publisiti luas.

“Saya fikir sukan luncur ombak mempunyai potensi untuk dimajukan di Malaysia, malah boleh menyumbang kepada industri pelancongan negara dan harapan saya agar ada pelapis-pelapis luncur ombak dari Sabah yang dapat mewakili Malaysia pada masa akan datang,” katanya.