Anda di sini

Penghantaran pertama gas di bawah TPA akan tarik lebih banyak minat penggiat industri

 Kamal Bahrin pada sesi temu bual eksklusif bersama wartawan Bernama di Tower 1 Petronas kelmarin. — Gambar Bernama
TEMUBUAL: Kamal Bahrin pada sesi temu bual eksklusif bersama wartawan Bernama di Tower 1 Petronas kelmarin. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Petronas Gas Bhd, cabang perniagaan gas syarikat minyak nasional, optimis bahawa penghantaran gas yang pertama di bawah Akses Pihak Ketiga (TPA) akan menarik lebih banyak minat dalam mekanisme baharu pengimportan gas.

Pengarah Urusannya, Kamal Bahrin Ahmad berkata kargo pertama di bawah mekanisme TPA tiba semalam di Terminal Regastifikasi (RGT) di Sungai Udang di bawah perjanjian antara Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd untuk kargo percubaan gas asli cecair (LNG).

Kargo LNG pihak ketiga yang pertama itu akan membolehkan PGB menilai keberkesanan TPA secara keseluruhan, dari segi komersial dan operasi.

“Dengan mempunyai pihak ketiga membawa masuk kargo mereka, ia akan memberi motivasi kepada yang lain untuk turut serta,” katanya kepada Bernama.

Kamal Bahrin berkata langkah ini bukan hanya akan mewujudkan persekitaran yang lebih kompetitif dan harga gas yang lebih murah tetapi juga menyediakan jaminan bekalan gas kepada negara.

“Tujuan penghantaran kargo itu untuk meningkatkan jaminan bekalan gas kepada negara dan berharap, kami dapat menarik lebih ramai pelabur untuk mewujudkan kemudahan mereka yang memerlukan lebih banyak gas di sini,” katanya.

Beliau berkata Petronas Gas, sebagai pemilik infrastruktur, turut bersedia untuk menerima lebih banyak penghantaran gas di bawah TPA.

“Kami telah mengendalikan kemudahan itu, sama ada saluran paip gas sedia ada yang kami telah mengendalikannya sejak 20 tahun lepas atau kemudahan baharu, dan kami dapat mengekalkan kebolehpercayaan. Saya fikir itu adalah cadangan nilai yang lebih penting yang kami berikan kepada penghantar pihak ketiga,” katanya.

Beliau berkata syarikat memperuntukkan sebanyak RM300 juta sebagai perbelanjaan modal (capex) setahun untuk mengekalkan operasi dan kebolehpercayaan infrastrukturnya.

“Ini tidak termasuk penyelenggaraan statutori setiap tiga hingga enam tahun, yang boleh menambah kira-kira RM1 bilion hingga RM1.1 bilion kepada capex kami,” katanya.

Bagaimanapun, katanya syarikat turut bersedia untuk memperluaskan saluran paipnya berdasarkan keperluan pelanggannya.

“Bergantung kepada pengguna, apabila mereka memerlukan saluran paip yang khusus kami ada di sini untuk menyediakan saluran paip tambahan. Ia adalah sebahagian daripada keperluan TPA,” katanya.

TNB, dalam kenyataan minggu lepas, mengumumkan ia akan menerima penghantaran gas yang pertama daripada Shell Malaysia Trading Sdn Bhd untuk menguji TPA melalui RGT di Sungai Udang, Melaka dan rangkaian saluran paip gas Penggunaan Gas Semenanjung (PGU) yang dimiliki oleh Petronas Gas.

Penghantaran 3.5 trilion British thermal unit (TBtu) gas, yang akan digunakan oleh Stesen Janakuasa Elektrik Tuanku Jaafar di Port Dickson dan Stesen Janakuasa TNB Connaught Bridge di Klang, dijangka akan digunakan sepenuhnya dalam tempoh 14 hari.

Selain RGT Sungai Udang, pengimport LNG di bawah TPA juga boleh memunggah kargo mereka di RGT Pengerang dan kedua-dua kemudahan ini disambungkan kepada rangkaian saluran paip PGU sepanjang 2,623 km di seluruh Semenanjung Malaysia. — Bernama