Anda di sini

Nga Kor Ming selesai beri keterangan polis

Advertisement
 Nga (tengah) hadir di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman semalam bagi memberikan keterangan kepada Polis berhubung dakwaan kenyataan berbaur menghina Sultan Sharafuddin baru-baru ini. — Gambar Bernama
BERI KETERANGAN: Nga (tengah) hadir di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman semalam bagi memberikan keterangan kepada Polis berhubung dakwaan kenyataan berbaur menghina Sultan Sharafuddin baru-baru ini. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming semalam memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman, di sini berhubung status menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dimuat naik dalam akaun media sosial yang dikaitkan dengannya.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu yang tiba pada jam 1.26 petang dilihat meninggalkan pekarangan ibu pejabat polis itu pada jam 3 petang dengan menaiki kenderaan rasmi Proton Perdana.

Beliau turut ditemani Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Datuk Ngeh Khoo Ham; Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer; Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh; Ahli Parlimen Batu Gajah V. Sivakumar dan beberapa pemimpin DAP Perak.

“Satu laporan berserta bukti bagi membantu siasatan polis telah diserahkan sebentar tadi (semalam).

“Saya juga menggesa polis mengambil tindakan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung kenyataan fitnah dikeluarkan terhadap saya di laman Facebooknya,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed mengesahkan menerima keterangan Ahli Parlimen Teluk Intan itu dan menurutnya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Sebelum ini, kenyataan menghina Sultan Selangor itu didakwa dilakukan melalui akaun Facebook, Nga Kor Ming Super Fans Page pada bulan lepas. — Bernama

Advertisement