Anda di sini

Nelayan rayu bantuan bina semula rumah

Advertisement
 Nelayan,  Yaacob Ibrahim, 66 menunjukkan dinding yang reput dan berlubang akibat dimakan anai-anai di rumahnya di Lorong Kompleks, Kampung Tengah, Kuala Kedah di Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama
REPUT: Nelayan, Yaacob Ibrahim, 66 menunjukkan dinding yang reput dan berlubang akibat dimakan anai-anai di rumahnya di Lorong Kompleks, Kampung Tengah, Kuala Kedah di Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Seorang nelayan dari Kampung Tengah, Kuala Kedah, di sini Yaacob Ibrahim, 66, merayu kepada pihak berkaitan untuk membantu membina rumah baharu selepas seluruh rumah pusaka yang didiami semakin uzur dimakan anai-anai.

Yaacob berkata selepas menghidap penyakit buasir sejak 15 tahun lalu, kesihatannya semakin merosot dan tidak mampu mencari wang untuk membaiki rumah berusia lebih 70 tahun itu, tambahan pula isterinya Masilah Rebani, 47, turut menghidap penyakit darah tinggi kronik dan tidak dapat membantu.

“Dah lama saya tidak turun menangkap ikan, kesudahannya seluruh tiang, dinding, kayu, bumbung dan lantai reput seluruhnya, nak berjalan dalam rumah pun takut lantai runtuh... walaupun rumah semakin uzur, kami gagahkan tinggal di sini kerana tidak mampu menyewa di tempat lain.

“Bulan lepas keadaan bertambah buruk selepas saya batuk berdarah, isteri pula yang mengambil upah menyiang ikan dengan pendapatan RM200 sebulan sejak 2009 terpaksa berhenti kerja kerana sering demam dan seluruh badannya menggeletar dan lemah.

“Hidup kami cukup tersepit ketika ini kerana kami berdua tidak lagi bekerja dan wang simpanan habis digunakan sehingga banyak bergantung pada anak tiri yang hanya bekerja buruh kasar dengan pendapatan tak menentu selain berharap sumbangan saudara-mara jika bekalan makanan terputus,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Sehubungan itu, Yaacob berharap pihak berkenaan seperti Lembaza Zakat Negeri Kedah (LZNK), Jabatan Kebajikan Masyarakat serta orang ramai dapat membantu bagi meringankan beban yang ditanggung.

Tinjauan di rumah warga emas itu mendapati, rumah papan yang didiami semakin condong kerana tiang rumah semakin mendap, selain dinding rumah, kayu siling dan lantai rumah reput dimakan anai-anai, manakala bumbung rumah berlubang menyebabkan mereka terpaksa menadah bekas setiap kali hujan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman berkata, pihaknya akan turun menjalankan siasatan dan menyalurkan bantuan sewajarnya bagi meringankan beban yang ditanggung. — Bernama

“Pihak kami tidak ada masalah untuk membantu membaik pulih ataupun membina rumah baharu buat keluarga ini, namun pemilik perlu memiliki geran tanah atau surat persetujuan adik beradik bagi mengelak masalah di kemudian hari, kita juga akan memikirkan bantuan sewajarnya bagi meringankan beban keluarga itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Orang ramai yang  ingin membantu Yaacob, boleh menghubunginya menerusi nombor telefon 017-5708741 atau menyalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Yaacob di nombor 0210829100000155. — Bernama

Advertisement