Anda di sini

MPS giat baiki jalan untuk membolehkan bomba masuk ke tapak pelupusan sampah terbakar

Advertisement
Gambar yang dimuat naik Clarence dalam Facebook menunjukkan kepulan asap dari tapak pelupusan sampah berkenaan.
Gambar yang dimuat naik Clarence dalam Facebook menunjukkan kepulan asap dari tapak pelupusan sampah berkenaan.

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) sedang berusaha membaiki semula jalan masuk ke tapak pelupusan sampah di Jalan Seng Ling di sini, yang dikorek bagi membolehkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memasuki kawasan tersebut untuk memadamkan kebakaran.

Pengerusinya Clarence Ting berkata MPS telah memaklumkan insiden kebakaran di tapak pelupusan terbabit kepada pihak bomba di sini.

"Kami (MPS) sedang berusaha membaiki jalan yang dikorek supaya pihak bomba dapat masuk ke tapak pelupusan tersebut.

"Ketika ini, kami sedang mencari kontraktor untuk menggali semula tapak pelupusan berkenaan hingga ke punca api di bawah tanah yang meyebabkan berlakunya kebakaran," katanya semasa dihubungi hari ini.

Clarence berkata, tapak perlupusan tersebut ditutup dan diserahkan kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS).

Ujar beliau, kali terakhir kejadian kebakaran berlaku di tapak perlupusan sampah berkenaan ialah ketika Hii Chang Kee yang kini Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan (KPKKBS) masih menjadi Setiusaha MPS.

Ketika itu, pihak MPS turut menggunakan khidmat kontraktor untuk menggali tapak pelupusan berkenaan bagi mencari punca api di bawah tanah sebelum menimbusnya semula.

"Kali ini, tiada akses jalan ke tapak pelupusan berkenaan, jadi ini mungkin mengambil masa yang lebih lama (memadamkan api)," jelas beliau.

Untuk rekod itu, tapak pelupusan ditutup secara rasmi pada bulan April tahun ini, setelah beroperasi sejak 18 tahun yang lalu.

Jalan berkenaan terpaksa dikorek bagi menghentikan penceroboh daripada memasuki kawasan tersebut dan membuang sampah secara haram.

Difahamkan juga, sejak tapak pelupusan tersebut mula beroperasi pada tahun 2001, kawasan berkenaan turut dihuni oleh penduduk setinggan.

Mengenai isu setinggan, Clarence menjelaskan pihaknya kini merancang untuk mengambil alih tapak berkenaan.

"MPS telahpun mengadakan pertemuan dengan JTS pada Selasa untuk membincangkan perkara ini.

"Saya berharap, kami dapat mengambil alih tapak ini sekaligus mengurangkan insiden kebakaran," katanya.

Selain itu ujar beliau, tanah menuju ke tapak pelupusan tersebut adalah milik persendirian dan sekiranya pemilik tanah membuat aduan rasmi, baru pihak polis mengambil tindakan terhadap penceroboh serta penduduk setingga.

Katanya, isu tersebut juga pernah dibincangkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
 

  • oleh
  • Advertisement