Anda di sini

Loew kian resah, Werner pemain terbaharu tidak dapat bermain menentang Argentina

 Werner tidak akan menyertai Jerman pada perlawanan persahabatan menentang Argentina selepas disahkan mengalami kecederaan. — Gambar AFP
CEDERA: Werner tidak akan menyertai Jerman pada perlawanan persahabatan menentang Argentina selepas disahkan mengalami kecederaan. — Gambar AFP

BERLIN: Penyerang RB Leipzig Timo Werner menjadi pemain terbaharu yang disahkan tidak dapat bermain dalam perlawanan persahabatan Jerman menentang Argentina, yang memaksa jurulatih Joachim Loew untuk memanggil pemain sokongan kelmarin.

Loew menambah pemain tengah kelab Hoffenheim, Sebastian Rudy, dan pemain pertahanan Freiburg yang belum pernah mewakili negara, Robin Koch, kepada skuad yang akan melayan kunjungan Argentina pada malam ini (Rabu) dan kemudian bertandang ke Estonia untuk perlawanan kelayakan Euro 2020 empat hari kemudian.

“Saya menghabiskan Ahad saya dengan bertelefon dan saya menerima berita buruk sahaja,” kata Loew, yang juga tidak ada khidmat pemain tengah yang cedera Ilkay Gundogan untuk perlawanan persahabatan di Dortmund.

Toni Kroos, Jonas Hector dan Matthias Ginter menarik diri daripada skuad pada Ahad lepas, dan pemain Schalke, Suat Serdar, dipanggil sebagai pengganti.

Loew tidak ada khidmat 12 pemain tetap, termasuk pemain Manchester City Leroy Sane, yang tidak dapat bermain bagi jangka panjang selepas kecederaan ligamen lutut pada Ogos lalu.

“Ia adalah sayang sekali kerana pasukan muda kita perlu menyesuaikan diri jika ia mahu mencapai kemajuan,” kata Loew.

“Ia menjejaskan kami, ia adalah luar biasa sukar bagi kami. Ini bukan keadaan terbaik tetapi saya tidak akan bersungut mengenainya. Ia juga memberi peluang kepada orang lain dan kepada pemain muda.”

Loew berkata dia tidak terfikir untuk memanggil balik Mats Hummels daripada buangan antarabangsa selepas dia tidak memilih pemain pertahanan Borussia Dortmund itu pada Mac lalu.

“Saya belum memikirkannya. Kami sedang mengikuti laluan kami dengan pemain muda kami dan tiada sebab untuk memanggil Mats.”

Loew telah memilih lima pemain yang tidak pernah mewakili negara iaitu pemain tengah Bayer Leverkusen Nadiem Amiri, penyerang Freiburg Luca Waldschmidt dan pemain pertahanan Hertha Berlin Niklas Stark, untuk menyertai Koch dan Serdar.

Jerman terikat 12 mata dengan Ireland Utara daripada lima perlawanan di tempat teratas Kumpulan C.

Belanda, yang menewaskan Jerman 4-2 di Hamburg pada bulan lepas, berada tiga mata di belakang dengan kelebihan baki satu perlawanan.

Dua pasukan teratas akan layak secara automatik ke Euro 2020. — AFP