Anda di sini

Lelaki dari Mukah korban terbaharu rabies di Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki berusia 64 tahun dilaporkan menjadi mangsa terbaharu yang meninggal dunia akibat wabak rabies di Sarawak setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa yang berasal dari Mukah meninggal dunia pada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Bintulu semasa dalam perhatian rapi pakar perubatan itu pada 19 Ogos lalu.

"Dia digigit oleh anjing yang diambil daripada saudaranya di Kanowit," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, kes terbaharu itu menjadikan jumlah kes kematian rabies yang dilaporkan adalah seramai 20 orang sejak wabak itu diisytiharkan di Sarawak pada 1 Julai 2017.

Dr. Noor Hisham berkata,setakat 3 Oktober tahun ini, sebanyak 21 kes rabies dalam kalangan manusia dicatatkan di negeri ini.

"Kesemua kes telah meninggal dunia kecuali seorang kanak-kanak yang masih hidup dan kini berumur sembilan tahun yang mengalami komplikasi neurologi teruk akibat jangkitan rabies," katanya.

Dengan wabak rabies yang mememasuki tahun ketiga di negeri ini, tambah beliau, bilangan kes gigitan haiwan khususnya anjing dan kucing direkodkan masih tinggi.

"Ia mencatatkan bilangan kes gigitan haiwan tersebut dengan purata dari 40 ke 60 kes sehari pada kadar yang hampir sama seperti pada tahun pertama wabak rabies," katanya.

Malah pada tahun ini juga, ujarnya sejumlah besar anjing dan kucing yang menggigit mangsa didapati positif ujian rabies. 

"Berdasarkan laporan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, sehingga 30 September 2019, sebanyak 138 atau 32.8 peratus sampel daripada sejumlah 420 anjing dan kucing yang dijalankan ujian adalah didapati positif rabies," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kejadian kesemua kes rabies ini boleh dielakkan sekiranya luka gigitan segera dicuci dengan sempurna bagi menghilangkan air liur haiwan selain turut mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan.

Menurutnya, jangkitan rabies kepada manusia boleh dielakkan melalui imunisasi rabies kepada haiwan tersebut. 

"Justeru, pastikan haiwan peliharaan anda mendapat imunisasi rabies setiap tahun bagi memastikan mereka kekal dilindungi dari jangkitan rabies," katanya sambil menasihati orang ramai supaya elakkan  mengambil atau memelihara anjing yang tidak diketahui status kesihatannya.

Beliau berkata, gigitan atau cakaran anjing adalah punca utama bagi hampir kesemua kes rabies yang dilaporkan. 

"Lima kes daripada 21 kes rabies terbabit mempunyai sejarah digigit oleh anjing yang diambil daripada individu lain dengan status vaksinasi rabies haiwan tersebut tidak diketahui.

"Hampir keseluruhan negeri ini ada melaporkan anjing dan kucing yang didapati positif rabies kecuali Limbang yang masih bebas rabies," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi saranan dan arahan pihak berkuasa dalam pelaksanaan Program Kawalan dan Pencegahan Rabies.

"Ia bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat Sarawak," ujarnya.

Advertisement