Anda di sini

Kod AH kenderaan e-hailing didaftar secara automatik - Loke 

Advertisement
Loke menunjukkan pelekat kenderaan e-hailing semasa sidang media di kementeriannya hari ini. - Gambar Bernama
Loke menunjukkan pelekat kenderaan e-hailing semasa sidang media di kementeriannya hari ini. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Kod AH bagi kenderaan persendirian e-hailing, akan didaftarkan secara automatik dalam sistem mySIKAP, dan pemilik serta pemandu e-hailing tidak perlu ke pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), untuk melaksanakan urusan itu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata kod AH tersebut juga tidak akan terpapar di dalam geran kenderaan, justeru itu pemilik tidak perlu risau untuk menjual kenderaan mereka, di masa hadapan.

"Pelaksanaan kod AH secara pentadbiran saja, ini di dalam sistem mySIKAP untuk mengenal pasti kenderaan itu digunakan untuk e-hailing," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kegusaran yang ditimbulkan Persatuan Pemandu Perkhidmatan e-Hailing Malaysia (Mehda), yang mendakwa JPJ menetapkan kod kenderaan ditukar kepada AH, dan salinan permit kenderaan e-hailing (eVP) yang mesti disimpan, sebelum tempoh penguatkuasaan Sabtu ini (12 Okt).

Loke berkata pemandu dan operator e-hailing juga tidak diwajibkan mencetak maklumat eVP.

"Cetakan itu untuk memudahkan mereka, tetapi kitapun tidak mewajibkannya. Nombor eVP mereka sudah ada di dalam sistem mySIKAP. Kadang-kadang ini memudahkan semasa membuat pemeriksaan Puspakom dan penguatkuasaan. Mudah untuk mereka tunjuk sahaja," katanya.

Loke berkata pemandu e-hailing yang telah lulus ujian PSV  (lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam) boleh terus memandu, walaupun belum mendapat kad PSV secara fizikal.

"Mereka boleh terus pergi ke portal JPJ dan cetak sahaja, menunjukkan mereka telah lulus walaupun tidak dapat lagi lesen fizikal dan boleh terus bawa. Mereka boleh cetak di rumah,” katanya.

Setakat ini, katanya seramai 69,053 calon telah lulus ujian PSV.

Loke berkata penjelasan mengenai kekeliruan isu e-hailing, menunjukkan kerajaan tegas dengan pelaksanaan penguatkuasaan bagi perkhidmatan e-hailing mulai Sabtu ini.

"Tidak ada u-turn dan dasar baru. Penguatkusaan akan bermula 12 Okt ini, kita akan teruskan perancangan ini. Tetapi itu bukan bermaksud mula saja kita akan terus pergi periksa setiap kereta, tidak... kita menguatkuasa secara beransur-ansur," katanya.

Mengenai pemeriksaan kesihatan sebagai syarat permohonan PSV, Loke berkata bermula 1 Okt lepas, borang JPJL8A yang baharu hendaklah digunakan sebagai dokumen rasmi, bagi syarat dalam prosedur permohonan atau pembaharuan Lesen Vokasional.

"Pada borang lama, ada tertera RM80 caj maksimum, itu sebenarnya kadar siling namun kita dapati klinik ambil peluang caj maksimum RM80, sedangkan sebelum ini ada klinik cuma kenakan bayaran RM40 menyebabkan ada pihak salahkan JPJ, walhal ia ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Berikutan itu, kita keluarkan perkataan RM80 pada borang baharu, untuk mengelak orang ramai menyalahkan JPJ dan elak disalahguna pihak klinik untuk kenakan bayaran maksimum," katanya.

Sementara itu, Loke berkata beliau juga telah meluluskan permohonan 57 pemandu Orang  Kelainan Upaya (OKU) untuk mendapatkan lesen PSV.

"Walaupun KKM dalam ulasannya tidak menyokong permohonan mereka, tetapi saya telah meluluskannya melalui Kaedah 21, Kaedah-kaedah Kenderaan Perkhidmatan Awam (Pelesenan dan Kelakuan Pemandu, Konduktor dan Penumpang) 1959 di bawah kuasa Menteri Pengangkutan.

"Mereka ini adalah OKU kategori masalah pendengaran dan merupakan pemandu e-hailing sedia ada,” katanya. - Bernama 

Advertisement