Anda di sini

Ketua masyarakat di Limbang bantah penubuhan MPKK

Advertisement
Nicholas (duduk sembilan kiri) bersama Leong (duduk tujuh kiri), Jun, Willie, Abu bersama ketua masyarakat lain pada sidang media hari ini.


LIMBANG: Kira-kira 163 orang ketua masyarakat di sini hari ini membantah penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)  yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk ditubuhkan di daerah ini.

Temenggung Nicholas Buyok Pura berkata Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dilantik oleh Kerajaan Negeri di bawah Ordinan Ketua Masyarakat Dan Ketua Kaum 2004 untuk setiap kampung  di Daerah Limbang sudah mempunyai fungsi dan peranan tersendiri.

Menurut beliau, penubuhan MPKK boleh mengganggu kestabilan, keharmonian dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan rumah panjang, kampung dan penempatan pedalaman di Sarawak termasuk di Limbang.

"Ketua Masyarakat Daerah Limbang sebulat suara menolak penubuhan MPKK kerana ianya berunsurkan politik dan boleh menggugat keamanan serta perpaduan dan memberi kesan yang tidak baik terhadap keharmonian dan kelestarian adat pelantikan sebelum ini,"katanya pada sidang media hari ini.

Hadir sama, Temenggong Willie Marum Liaw, Pemanca Jun Silah, Pemanca Abu Tinggal, Pemanca Leong Boon Ming, Penghulu Ekit Awang dan ketua masyarakat lain.

Nicholas berkata JKKK yang sedia ada terbukti sangat baik, masih relevan dan amat berkesan di dalam menyampaikan maklumat dan memantau projek-projek kampung, menjalankan aktiviti serta menyelesaikan permasalahan  dan menjaga kebajikan penduduk.

Bagaimanapun katanya  ketua-ketua masyarakat di sini tidak menolak pembangunan yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan ke peringkat akar umbi. 

"Peruntukan-peruntukan tersebut boleh disalurkan kepada agensi-agensi persekutuan yang ada di Limbang ataupun boleh disalurkan melalui Pejabat Daerah dan JKKK yang sedia ada,"ujar beliau lagi.
 

  • oleh
  • Advertisement