
‘MENGAGUMKAN’. Itu gambaran paling sesuai untuk menggambarkan pengalaman penulis merasai sendiri ‘nikmat’ keselesaan memandu jentera automobil keluaran tempatan – Proton (Proton Holdings Berhad).
Penulis bersama juruvideo The Borneo Post berkesempatan mengikuti pengembaraan Proton 1 Tank Adventure membabitkan laluan sepanjang lebih 500 kilometer ulang-alik dari Kuching, Bau, Sematan dan Samarahan.
Proton 1 Tank Adventure adalah cabaran yang menjemput pemilik Proton untuk meneroka pemandangan indah, budaya dan kepelbagaian makanan di Malaysia sambil memandu secara ekonomi.
Program penuh cabaran selama dua hari kembara Proton 1 Tank Adventure yang pertama diadakan di Sarawak dari 28 September itu disertai 18 kumpulan membabitkan media dan pelanggan setia menaiki 25 jentera Proton.

PANDANGAN PENULIS
Proton Iriz, Saga dan Persona 2019 yang diuji ketahanannya nyata tidak sesekali menghampakan keseluruhan ekspedisi kembara sama ada ketika melalui laluan lurus, berliku atau keadaan jalan tidak rata.
Peserta kembara Proton 1 Tank Adventure hanya dibenarkan mengisi sekali isian penuh minyak bagi menamatkan ekspedisi sebagai membuktikan kecekapan penggunaan bahan api pada jentera baharu Proton.
Ternyata masih lagi berbaki dua bar pada penunjuk meter minyak Proton Iriz meskipun pemanduan panjang dua hari kami lalui ke pelbagai lokasi termasuk Lebuhraya Pan Borneo di Telok Melano, Sematan.
Bagi penulis, Proton wajar dianugerah pujian kerana kesungguhan syarikat tempatan itu memartabatkan ‘maruah’ industri automobil selayak gah ke peringkat global malah teknologi yang dibina turut mengutamakan keselamatan pemandu dan penumpang.
“Sepanjang membawa Proton Iriz dalam ekspedisi ini, kami dapat merasakan kenderaan ini diberi nilai tambah berbanding keluarannya sebelum ini yang bukan sahaja melakukan penambahbaikan dari segi luarannya tetapi juga dalaman yang dapat memberi kepuasan pemanduan,” katanya.

2019 MERUPAKAN TAHUN MEMBANGGAKAN BAGI PROTON
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Market Intelligence Proton Salawati Mohd Yussof berkata, tahun 2019 merupakan tahun yang membanggakan buat Proton kerana melancarkan lima produk terbaharu dalam tempoh kurang daripada setahun iaitu Proton X70 (dilancarkan 12 Disember 2018), Proton Exora, Proton Iriz, Proton Persona dan Proton Saga.
Menurutnya, tiga jentera (model) itu iaitu Iriz, Persona dan Saga digunakan untuk cabaran Proton 1 Tank Adventure di Sarawak.
“Cabaran Proton 1 Tank Adventure di Sarawak adalah siri ketiga dilakukan dengan dua siri diadakan di Semenanjung Malaysia dan Sabah sebelum ini,” katanya.
Semasa cabaran di Semenanjung Malaysia katanya, menyaksikan kemenangan peserta Proton 1 Tank Adventure bagi kategori Proton Iriz yang mencatat pemanduan sejauh 650 kilometer dengan menggunakan 4.94 liter minyak bagi setiap 100 kilometer (km) sepanjang perjalanan.
“Sementara di Sabah, peserta Proton 1 Tank Adventure yang memandu Proton Saga berjaya mencatatkan penggunaan bahan api terbaik dengan 5.75 liter bagi setiap 100 kilometer,” ujar Salawati sambil berharap peserta Proton 1 Tank Adventure di Sarawak akan turut sama mendapat pemahaman lebih baik terhadap kereta-kereta terbaharu Proton.

MAKLUM BALAS PESERTA
Sementara itu, penulis turut berkesempatan menemu bual peserta Proton 1 Tank Adventure yang juga pemilik Proton Iriz, Persona dan Saga 2019.
Edwin Tan memberitahu, beliau menaruh kepercayaan kepada jentera Proton sejak memandu Gen2, kereta pertamanya pada 2006.
“Saya bukan hanya jatuh cinta kerana keselesaan pemanduan jentera Proton tetapi keunikan logo Proton itu sendiri juga menarik minat saya untuk terus memiliki Proton Persona terbaharu.
“Banyak penambahan teknologi dibina dalam Proton Persona keluaran terbaharu daripada aspek keselamatan, penjimatan bahan api dan harga yang tidak akan mengecewakan pembeli,” katanya.
Pandangan Edwin juga senada dengan pemilik Proton Saga, Sally Farzilawati yang memberitahu, beliau kagum dengan reka bentuk Saga keluaran terbaru yang standing dengan jenama import.
“Reka bentuk Saga yang menepati cita rasa pembeli juga mengalami banyak perubahan positif berbanding sebelum ini dan yang paling bagus ialah jimat minyak serta selesa.
“Tiga perkataan yang boleh saya gambarkan tentang Proton Saga ialah Selesa, Bergaya dan Berbaloi,” kata kakitangan kerajaan itu.

PEMENANG PROTON 1 TANK ADVENTURE DI SARAWAK
Dalam pada itu, cabaran Proton 1 Tank Adventure di Sarawak menyaksikan Pasukan Enam terdiri daripada Hazimi Madini dan Nur Sharim Farikh memenangi catatan terbaik untuk Proton Iriz iaitu 5.49 liter bagi setiap 100km sepanjang perjalanan bagi kategori awam.
Manakala, catatan tebaik untuk Proton Persona dan Proton Saga bagi kategori awam masing-masing dimenangi Pasukan 14 (Tan Woon Seng dan Lai Min Wei) dan Pasukan 24 (Mohamad Asfia Kamil dan Mariam Sheikh Mohammad Eusoff) dengan catatan 5.90 liter dan 5.82 liter bagi setiap 100km.
Sementara untuk kategori media pula, Pasukan Satu bagi Proton Iriz merekodkan catatan terbaik iaitu 5.88 liter bagi setiap 100km sepanjang perjalanan manakala Persona dan Saga masing-masing merekodkan 6.35 liter dan 5.74 liter bagi bagi setiap 100km.
Kesemua pemenang menerima hadiah wang tunai RM1,500 sekali gus melayakkan mereka bersaing sekali lagi dalam cabaran terakhir Proton 1 Tank Adventure di Semenanjung Malaysia iaitu di Kota Bharu, Kelantan pada 5 dan 6 Oktober depan.