Anda di sini

KAYBEE KL juara baharu Tenis Berpasukan Jemputan Sabah 2019

 Phoong (enam dari kanan) menyampaikan piala juara kepada pasukan KAYBEE KL.
HADIAH JUARA: Phoong (enam dari kanan) menyampaikan piala juara kepada pasukan KAYBEE KL.

KOTA KINABALU: Pasukan KAYBEE Kuala Lumpur muncul juara baharu edisi ke-12 Kejohanan Tenis Berpasukan Jemputan Sabah 2019 yang berlangsung di sini pada 4-6 Oktober.

Dibarisi kombinasi bekas pemain kebangsaan Malaysia dan Indonesia, KAYBEE menjulang gelaran juara dengan menumpaskan MNW One juga dari Kuala Lumpur dengan keputusan 4-1.

Walaupun tanpa bekas pemain nombor satu negara, V Selvam tetapi KAYBEE yang diketuai Lai Kok Siong tidak mengahadapi masalah mengetepikan cabaran MNW One yang diketuai Perry Lim. KAYBEE hanya kalah satu perlawanan iaitu dalam acara beregu wanita.

Tempat ketiga dimenangi pasukan Kool Tennis yang juga dibarisi bekas pemain kebangsaan Malaysia dan Singapura.

Pasukan yang diketuai Leila Zainal itu menang 3-2 ke atas PTBS Borneo West yang diketuai Megat Khairul.

Sebagai rekod, juara hatrik kejohanan itu, Hytech Blended, penyandang gelaran juara 2016-2018 tidak dapat mengambil bahagian pada kejohanan kali ini ekoran kegagalan menyediakan pemain sesuai dengan kategori kumpulan umur baharu yang diperkenalkan.

Kejohanan itu mempertandingkan kategori kumpulan umur 30, 40, 50 dan 60 tahun untuk lelaki berbanding kumpulan umur 25, 35, 45 dan 55 sebelum ini. Kumpulan umur 35 bagi wanita dikekalkan.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan Menteri Belia Dan Sukan, Phoong Jin Zhe di Hotel Sutera.

Phoong gembira dengan penganjuran itu dan berharap lebih banyak kejohanan antarabangsa dianjurkan sekaligus mempromosikan negeri ini sebagai destinasi terbaik sukan pelancongan.

Kejohanan tahunan anjuran Persatuan Tenis Sabah (STA) itu disertai kira-kira 300 pemain dari 18 pasukan dalam dan luar negara.

Sambil itu, Presiden STA, Johnson Koh berterima kasih kepada semua yang membantu menjayakan kejohanan itu terutama Kementerian Belia Dan Sukan Sabah, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta para penaja termasuk Dunlop Sports yang telah menyumbangkan hadiah barangan untuk tiga pasukan teratas.

Menurutnya, pasukan-pasukan yang mengambil bahagian juga gembira dengan perlaksanaan kejohanan itu dan berjanji untuk kembali pada tahun depan.

 Johnson (kanan) menyampaikan cenderahati berupa baju dan raket tenis kepada Phoong.
CENDERAHATI: Johnson (kanan) menyampaikan cenderahati berupa baju dan raket tenis kepada Phoong.